
Raja Kamarul Bahrin Shah, yang pernah menjadi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari 2018 hingga 2020, berkata, pihak berkuasa mesti menjawab sama ada dana itu diperuntukkan dengan betul.
Selaras dengan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, pemaju dikehendaki membayar caj pembangunan kepada majlis bandaran tempatan, dengan jumlah tertentu bertujuan untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana sedia ada seperti saliran.
“Majlis tempatan sepatutnya menyalurkan semula wang yang dibayar oleh pemaju ke arah infrastruktur untuk memastikan semuanya berjalan lancar,” kata Raja Kamarul, yang terlatih sebagai arkitek.
“Adakah kerajaan berbuat demikian? Kita kena tanya pihak berkuasa apa jadi dengan caj pembangunan semua projek yang dibina. Adakah pihak berkuasa tempatan menyalurkan wang ke arah menaik taraf infrastruktur bagi memastikan tiada banjir berlaku?”

Caj pembangunan diagih-agih
Bagaimanapun arkitek dan perancang bandar Ou Yang Chow Min memberitahu FMT, bayaran kepada majlis tempatan diagihkan dalam kalangan jabatan seperti saliran dan pengairan (JPS), bomba dan penyelamat serta penyedia perkhidmatan air.
Bahagian yang diagihkan kepada JPS adalah bagi kepakarannya dalam menyediakan garis panduan untuk sistem perparitan.
Walaupun pemaju mesti mematuhi garis panduan JPS untuk mendapatkan kelulusan bagi sistem perparitan, namun tanggungjawab untuk menyelenggara sistem ini terletak pada majlis tempatan atau JPS, katanya.
ADUN Kota Kemuning V Ganabatirau berkata, JPS perlu menggunakan dana itu dengan betul kerana mereka adalah agensi yang ditugaskan untuk mengendalikan saliran bandar dan pengurusan air hujan.
Puluhan ribu pengundinya terperangkap dalam banjir di kawasan seperti Taman Sri Muda di Shah Alam, yang menjadi kawasan paling teruk dilanda banjir di Selangor.
“JPS bertanggungjawab merangka keseluruhan pelan tindakan (saliran) untuk mengawal aliran air dalam persekitaran bandar bagi memastikan ia sampai ke sungai,” katanya.
“Tugasnya adalah memastikan air diuruskan dengan baik dan banjir tidak berlaku, sebab itu dana diberikan kepada jabatan itu.”
FMT sebelum ini melaporkan kepincangan undang-undang yang membenarkan projek baharu menggunakan sistem perparitan sedia ada mungkin mengakibatkan banjir besar di Taman Sri Muda, di mana sistem perparitan tempatan dibebani air dari kawasan berhampiran.
Menyentuh mengenai kesan banjir di Taman Sri Muda, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican semalam berkata, separuh daripada 40,000 tan metrik sisa yang dibersihkan selepas banjir di Selangor datang dari kawasan itu.
FMT telah menghubungi JPS dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tetapi kedua-duanya enggan memberi komen.