
TAMBUNAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dilaporkan hilang dalam kejadian di Kampung Sungai Zon Kumareling, di sini semalam, ditemui lemas.
Mangsa, Mohammad Syaril ditemui orang awam kira-kira 3 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Terdahulu, dalam kejadian jam 6 petang semalam itu, mangsa dilaporkan hilang selepas ibunya menemui selipar milik mangsa di tepi sungai di belakang rumah mereka.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan selepas ditemui.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi bomba kemudian ditamatkan pada jam 11 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi.