Bukan saja dipenuhi kenderaan, biar KL jadi lebih mesra insan, kata Datuk Bandar

Bukan saja dipenuhi kenderaan, biar KL jadi lebih mesra insan, kata Datuk Bandar

Perancangan memperkenalkan had laju 30km/j di jalan-jalan di ibu kota adalah sebahagian daripada pelan itu.

Semua pengguna jalan raya perlu memperlahankan kenderaan apabila memasuki pusat bandar Kuala Lumpur pada masa depan dengan had laju 30km/j di kebanyakan kawasan.
KUALA LUMPUR:
Kajian untuk menurunkan had laju kepada 30km/j di zon terpilih di pusat bandar Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk memastikan ibu kota lebih mesra pengguna.

“Kami mahukan bandar raya ini mesra insan, bukan sahaja dipenuhi kenderaan,” kata Datuk Bandar Mahadi Che Ngah kepada FMT.

“Kami berharap untuk menjadikan jalan-jalan di pusat bandar lebih mesra dan menarik kepada pejalan kaki termasuk golongan kurang upaya, kanak-kanak, warga emas, penunggang basikal dan pengguna pengangkutan awam.

Mahadi berkata, mengurangkan had laju kenderaan akan menjamin keselamatan orang ramai.

Datuk Bandar KL Mahadi Che Ngah.

“Ini akan memastikan aktiviti berjalan dan menginap di bandar ini lebih baik. Ia akan meningkatkan aktiviti pejalan kaki seterusnya membaiki keadaan alam sekitar.

“Bandar raya ini akan lebih dekat di hati penduduknya, seterusnya membaiki lagi ekonomi tempatan,” katanya.

Mahadi berkata, rangka kerja untuk pelan jalan raya lebih selamat bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Minggu lalu, Pengerusi MIROS Suret Singh dan Ketua Pengarahnya Khairil Anwar Abu Kassim membuat kunjungan hormat ke atas Mahadi.

Mereka bersetuju untuk bekerjasama dalam mengenal pasti laluan had laju 30km/j dan 50km/j boleh dilaksanakan sebagai langkah keselamatan jalan raya.

Sehari selepas pertemuan itu, Suret berkata di Twitter, institut berkenaan akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merealisasikan rancangan itu.

Selain kajian bagi mengurangkan had laju, perbincangan turut berkisar tentang kemungkinan perkongsian data dan rekod antara DBKL dengan MIROS, khususnya rakaman CCTV kesalahan lalu lintas di ibu kota.

MIROS kini dalam peringkat akhir merangka cadangan untuk had laju standard 30km/j bagi kawasan kediaman dan penduduk, bandar serta kampung sebagai sebahagian daripada pelan keselamatan jalan raya kebangsaan 2022-203.

Rancangan DBKL untuk memperbaiki keselamatan jalan raya sejajar gesaan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus supaya kerajaan di seluruh dunia segera mengguna pakai had laju 30km/j di bandar.

Malaysia antara negara yang meratifikasi Deklarasi Stockholm berhubung keselamatan jalan raya dalam persidangan menteri global yang diadakan pada Feb 2020.

Lapan puluh menteri yang menghadiri persidangan itu berikrar untuk mengurangkan sehingga separuh bilangan kematian jalan raya menjelang 2030.

Turut dicadangkan had laju 30km/j sebagai “norma baharu” di kawasan jalan lazim digunakan bersama oleh penunggang motosikal, pemandu kereta, pejalan kaki dan penunggang basikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.