
Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Mohd Rosli Abdullah berkata, sebelum kejadian pihaknya mengesan sebuah bot pancing dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan rutin di perairan itu.
“Bot pancing itu bergerak dalam keadaan mencurigakan dan ketika anggota menghampiri bot berkenaan untuk diperiksa, lima individu terbabit bertindak terjun ke laut.
“Kesemua suspek juga berenang ke pantai berhampiran seterusnya melarikan diri bagi mengelak daripada ditahan oleh APMM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, hasil pemeriksaan bot pancing berkenaan mendapati ada beberapa peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti mengebom ikan.
“Terdapat fius yang disyaki digunakan bagi tujuan aktiviti mengebom ikan dan sebanyak 150kg pelbagai jenis ikan turut dirampas.

“Hasil forensik terhadap beberapa ikan mendapati bahagian dalam perutnya hancur akibat kesan aktiviti mengebom,” katanya.
Beliau berkata, bot dan peralatan mengebom serta ikan yang dirampas kemudian dibawa ke Jeti Maritim Negeri Sabah, di Sepanggar untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan,” katanya.