Wan Junaidi bela Azam ‘membuta tuli’, kata Ramasamy

Wan Junaidi bela Azam ‘membuta tuli’, kata Ramasamy

Isu ini bukan mengenai penglibatan penjawat awam dalam pasaran saham, tetapi mengenai integriti penjawat awam, kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu.

P Ramasamy berkata, tindakan Wan Junaidi membela Azam Baki gagal menegakkan standard undang-undang tertinggi yang diharapkan daripada menteri yang memegang portfolio undang-undang.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar langsung tidak mengendahkan persoalan penting ketika mempertahankan tindakan Azam Baki membenarkan adiknya menggunakan akaun dagangan sahamnya, kata P Ramasamy daripada DAP.

Sambil menyifatkan kenyataan menteri itu yang mewajarkan pembelian saham oleh Azam pada 2016 sebagai “pembelaan yang membuta tuli”, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu berkata, persoalan di fikiran semua orang sekarang adalah bagaimana pegawai tertinggi sebuah agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membenarkan perkara ini berlaku.

“Azam bukan sahaja berdagang saham, malah menurut keterangannya, membelinya atas permintaan adiknya. Tambahan, beliau menyembunyikan maklumat ini daripada agensi.

“Berbanding menyokong membuta tuli, Wan Junaidi sepatutnya bertanyakan Azam mengapa beliau membenarkan adiknya menggunakan namanya untuk membeli saham,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Wan Junaidi semalam bahawa tiada undang-undang yang menghalang penjawat awam memperoleh saham dalam syarikat senaraian awam.

Azam, iaitu Ketua Pesuruhjaya SPRM, kini disiasat kerana membenarkan adiknya Nasir menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham korporat.

Ramasamy berkata, tindakan Wan Junaidi membela Azam gagal menegakkan standard undang-undang tertinggi yang diharapkan daripada menteri yang memegang portfolio sedemikian.

“Malang untuk saya katakan, Wan Junaidi bukan jenis menteri undang-undang yang kita mahu di negara ini,” katanya.

“Ini bukan tentang penjawat awam memperoleh saham atau berdagang dalam pasaran saham, tetapi mengenai integriti penjawat awam.”

Ramasamy berkata, penting bagi Wan Junaidi untuk mentafsir undang-undang dengan membacanya bersama-sama perintah am yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

Katanya, Wan Junaidi, ketika mempertahankan tindakan penjawat awam menceburi pasaran saham, lupa bahawa ini membabitkan Azam, pegawai tertinggi di agensi antirasuah negara.

Beliau menggesa kerajaan untuk menubuhkan panel bagi menyiasat dakwaan terhadap Azam dari semua sudut dan bukan hanya bergantung kepada siasatan Suruhanjaya Sekuriti.

“Panel sebegitu malah dapat menjadi pelopor kepada suruhanjaya siasatan diraja kemudian,” katanya.

“Rasuah dan sebarang bentuk salah laku kewangan yang lain semakin berleluasa di jabatan kerajaan dan agensi awam.

“Ia menjadi sumpahan ke atas kesejahteraan negara pada masa hadapan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.