Tular video belasah rakan sampai pengsan, polis tahan 7 remaja lelaki

Tular video belasah rakan sampai pengsan, polis tahan 7 remaja lelaki

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak berkata tangkapan dibuat susulan tular satu klip video pergaduhan membabitkan sekumpulan remaja lelaki.

Kes akan disiasat dibawah seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam, menurut polis.
PETALING JAYA:
Polis menahan tujuh orang remaja lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu kejadian merusuh di Tapak Pasar Tamu, Pekan Kunak, Tawau, Sabah bagi membantu siasatan.

Makluman tersebut dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak dalam satu kenyataan ringkas di Facebook, susulan tular satu klip video pergaduhan membabitkan sekumpulan remaja lelaki di media sosial.

Rakaman video berdurasi 28 saat itu memaparkan seorang remaja lelaki dipegang daripada arah belakang sebelum ditendang dan ditumbuk bertubi-tubi oleh lima yang lain.

Aksi ganas itu turut dirakam oleh seorang individu lain dipercayai rakan kepada kelima-lima remaja terbabit.

Mangsa dilihat tidak sedarkan diri dipercayai akibat dicekik dari arah belakang oleh seorang daripada remaja terbabit dan keadaan mangsa tidak diketahui.

Malah apa yang lebih dikesali, semua yang terlibat seolah-olah tidak menghormati laungan azan sebaliknya terus memukul mangsa tanpa belas ihsan.

Difahamkan, kejadian berlaku pada awal Dis tahun lalu di kawasan Tamu Minggu berhampiran sebuah sekolah agama, sebelum ditularkan sejak tengah hari semalam.

Sehubungan itu, polis berkata kes akan disiasat dibawah seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh di tempat awam dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, berdasarkan kenyataan rasmi Ketua Polis Daerah Kunak, Sabarudin Rahmat berkata, mangsa sendiri yang tampil membuat laporan polis selepas video memaparkan dirinya dipukul tular di Facebook.

Beliau berkata, punca pergaduhan adalah disebabkan mangsa telah menjual barangan terpakai hasil modal bersama rakan-rakan tanpa pengetahuan dan hasil jualan tidak dibahagi sama rata.

“Mangsa sendiri yang meminta rakan-rakannya memukulnya sebagai hukuman di atas perbuatannya dan kemudian mereka kembali berkawan seperti sediakala,” katanya.

Mangsa juga memaklumkan tidak mengalami kecederaan parah semasa kejadian dan tidak mengetahui bagaimana video tersebut boleh tersebar di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.