Pegawai SPRM tergesa-gesa buat kesimpulan dalam laporan polis, dakwa peguam Lalitha

Pegawai SPRM tergesa-gesa buat kesimpulan dalam laporan polis, dakwa peguam Lalitha

Manjeet Singh Dhillon berkata SPRM tidak patut memainkan sebarang peranan dalam siasatan terhadap Ketua Pesuruhjayanya sendiri.

Seorang pegawai kanan SPRM membuat kesilapan fakta apabila membuat laporan polis terhadap pemberi maklumat Lalitha Kunaratnam, menurut peguamnya.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikritik kerana dilihat membuat kesimpulan tergesa-gesa walaupun siasatan belum dimulakan, apabila membuat laporan polis terhadap pemberi maklumat, Lalitha Kunaratnam.

Peguam Lalitha, Manjeet Singh Dhillon mengkritik laporan polis dibuat oleh Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM Mohan Munusamy, yang mendakwa artikel pemberi maklumat itu salah dari segi fakta dan memberi gambaran bahawa pegawai penguatkuasaan kanan korup hanya kerana terlibat dengan perniagaan.

Katanya, Lalitha mempertahankan artikel-artikel yang ditulisnya mengenai Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan pemilikan saham beliau.

Tegasnya, analisis itu berdasarkan fakta dan maklumat yang terkandung dalam pangkalan data rekod awam, laporan regulatori serta dokumen kewangan korporat.

Manjeet berkata SPRM tidak patut memainkan sebarang peranan dalam siasatan terhadap Ketua Pesuruhjayanya sendiri.

Azam dan SPRM dikritik susulan pendedahan bahawa beliau memiliki sejuta saham dalam syarikat tersenarai awam. Lalitha telah menulis dua artikel berdasarkan dakwaan dalam blog yang membutirkan saham berkenaan.

Sementara itu, Manjeet berkata Lalitha menyambut baik gesaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin untuk siasatan terhadap peranan Azam serta isu berkaitan saham berkenaan.

Lalitha berkata ini patut dilakukan badan yang berwibawa dan bebas tanpa sebarang konflik kepentingan atau berat sebelah.

Azam telah mengeluarkan surat tuntutan untuk permohonan maaf secara terbuka dan ganti rugi RM10 juta kerana menganggap reputasinya tercemar, yang juga sebagai persediaan untuk memfailkan saman fitnah kelak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.