Isytihar sebagai kabinet, kastam rampas rokok seludup RM8.7 juta

Isytihar sebagai kabinet, kastam rampas rokok seludup RM8.7 juta

Pemeriksaan pihak berkuasa menemui 7.9 juta batang rokok putih dipercayai diimport dari China.

Anggaran nilai rokok yang dirampas ialah RM3.2 juta dengan jumlah duti cukai sebanyak RM5.5 juta. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cubaan seorang lelaki membuat pengikraran tidak benar dan mengelirukan iaitu dagangan sebagai kabinet dalam borang kastam memakan diri apabila ditahan kerana disyaki menyeludup rokok putih bernilai RM8.7 juta, di Pelabuhan Pasir Gudang, bulan lalu.

Rampasan dibuat pada 28 Dis apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mengesan sebuah kontena memuatkan rokok tersebut pada 11.45 pagi.

Pengarahnya, Sazali Mohamad berkata hasil pemeriksaan pasukan Bahagian Penguatkuasaan Pasir Gudang, pihaknya menemui 7.9 juta batang rokok putih dipercayai diimport dari China.

“Anggaran nilai barang kes dirampas ialah RM3.2 juta dengan jumlah duti cukai sebanyak RM5.5 juta.

“Modus operandi kes adalah membuat pengikraran tidak benar dan mengelirukan iaitu dagangan sebagai kabinet dalam borang kastam bagi mengelak daripada dikenakan cukai tinggi dan permit import,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, suspek yang juga lelaki tempatan berusia 43 tahun dari syarikat perkapalan ditahan untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Peraturan 30(1) Peraturan-peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019, Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(a) iaitu membuat perakuan tidak betul dan membawa masuk barang tanpa permit.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 mengikut mana-mana lebih besar dan tidak melebihi dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.