
Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berkata, Ismail berada dalam keadaan paling lemah dari segi politik kerana beliau berdepan tugas berat menangani puak-puak berbeza dalam Umno, Bersatu dan PAS.
“Oleh kerana terdapat puak-puak dalam Umno, beliau tidak dapat meraih sokongan 100%. Disebabkan dinamik dalam Bersatu dan PAS, beliau juga tidak dapat memperoleh sokongan penuh mereka,” katanya.
Malah langkah untuk mencapai persefahaman politik dengan PH pada September tidak berhasil bagi Ismail kerana timbul gesaan untuk mengkajinya semula.

“MoU itu tidak memberi nilai tambah kepada Ismail. Semua parti politik tahu beliau seorang yang baik hati dan mereka cuba lihat bagaimana mereka dapat memanfaatkannya,” katanya.
Azmi berkata, disebabkan faktor-faktor itu, Ismail berada dalam situasi yang tidak menentu sejak hari pertama pelantikannya, cuba memenuhi tuntutan parti-parti politik berlainan.
Ismail dikritik atas caranya mengendalikan isu-isu seperti banjir, pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kontroversi membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Azmi berkata, Ismail perlu bertegas dan menunjukkan beliau dapat menguasai keadaan; jika tidak, negara mungkin menjadi kucar-kacir kerana menteri tidak menunaikan tanggungjawab.
“Beliau perlu memikul tanggungjawab ini. Satu-satunya cara beliau boleh melakukannya adalah dengan tegas,” katanya.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, Ismail perlu merombak Jemaah Menteri jika beliau ingin mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin negara sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Katanya, pembangkang yang lemah adalah satu-satunya sebab Jemaah Menteri Ismail masih utuh.
Bagi memastikan beliau kukuh dalam jawatannya, Ismail perlu menggantikan menteri berprestasi buruk dengan yang berwibawa dan melaksanakan dasar berjiwa rakyat, terutamanya bantuan kepada golongan miskin dan yang memerlukan.
“Menggantikan menteri memberi persepsi reformasi. Sudah tentu, ia tidak cukup untuk mendapatkan keyakinan, tetapi ia satu langkah yang mendekat kepadanya.”
Azmil berkata, Ismail harus bertanggungjawab ke atas kesilapan, ketiadaan tindakan dan tindak balas yang perlahan oleh kerajaan, terutamanya semasa banjir.
“Beliau sepatutnya lebih tegas dan terlibat dengan rakyat,” kata Azmil.
Perdana Menteri juga perlu mempunyai kemahiran kepimpinan yang lebih baik, sikap merendah diri dan perasaan empati, yang semuanya masih kurang pada masa ini, tambahnya.
Sebelum menjadi Perdana Menteri, Ismail, 62, pernah memegang portfolio Belia dan Sukan, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, serta Pertahanan.