Bantu klinik swasta terjejas banjir, MMA beritahu kerajaan

Bantu klinik swasta terjejas banjir, MMA beritahu kerajaan

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, lebih 40 GP swasta yang terjejas akibat banjir, dengan klinik-klinik mereka mengalami kerosakan dan tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

Antara klinik yang terjejas terletak di Klang dan Taman Sri Muda, Shah Alam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta kerajaan membantu klinik swasta yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, lebih 40 pengamal am (GP) swasta yang terjejas teruk.

Kebanyakannya berada di Klang, Taman Sri Muda (Shah Alam) dan kawasan lain di Selangor.

Koh berkata, klinik-klinik terbabit, yang kesemuanya terletak di tingkat bawah lot kedai, tidak dapat beroperasi sepenuhnya selepas air banjir mencecah siling premis.

Banjir memusnahkan semua peralatan perubatan, bekalan perubatan, komputer, pencetak, perabot serta barangan penting lain.

“Kerosakan dianggarkan antara RM300,000 dan RM500,000 bagi setiap klinik,” katanya dalam kenyataan.

“Diharapkan sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan dapat diberikan dengan mengambil kira sumbangan GP dalam menguruskan wabak.

“Ramai GP yang terjejas terlibat dalam ujian dan penilaian Covid-19, pemantauan pesakit yang menjalani kuarantin di rumah, serta mengambil bahagian dalam pemberian vaksin.

“Sebilangan doktor ini menawarkan diri dalam usaha bantuan banjir walaupun klinik mereka musnah.”

Koh juga berkata, bantuan daripada sektor kewangan dan korporat dalam bentuk pinjaman mudah sangat dihargai.

Baru-baru ini dilaporkan, sidang Parlimen khas mengenai bencana banjir akan diadakan pada 20 Jan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas itu telah ditetapkan mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3) Dewan Rakyat.

“Sidang Parlimen ini akan membincangkan perkara membabitkan kepentingan negara, seperti banjir dan situasi pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada mangsa, dan perancangan jangka panjang mengenai pengurusan bencana banjir,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.