
Selain Ibrahim, turut didakwa ialah seorang wanita dikenali sebagai “Puteri Zaleha” atau nama sebenarnya Suliaha Abdul Hamid, 62.
Sinar Harian melaporkan hakim Syarie, Mohammad Najib Ab Razak membenarkan kedua-duanya, yang mempunyai hubungan sepupu dan tidak diwakili peguam, diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Feb untuk sebutan semula kes.
Hakim Syarie membuat ketetapan itu selepas Pendakwa Syarie Perak, Suhaili Ishak memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak mengemukakan kertas pertuduhan dalam prosiding hari ini kerana memerlukan masa untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan lanjut.
Terdahulu, Ibrahim, 71, yang mempunyai tiga isteri dan 32 anak, serta Suliaha, seorang pesara penjawat awam, dalam rayuan memohon jaminan dikurangkan kerana mereka tidak mempunyai pendapatan tetap.
Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim selepas tular video berhubung ritual menolak bala di Dataran JPS, Teluk Intan pada Rabu lalu.
Video selama 25 minit itu menunjukkan Ibrahim bersama seorang wanita melakukan ritual tepung tawar yang dipercayai untuk menolak bencana banjir.
Susulan itu, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIPk menahan Ibrahim dan tiga individu lain petang semalam.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 Enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.