
Majlis Presiden PH turut menggesa Azam dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Abu Zahar Ujang disiasat oleh badan bebas.
Mereka berkata, kedua-duanya perlu direhatkan sementara siasatan dijalankan untuk menentukan sama ada mereka gagal menjalankan tugas mengikut undang-undang.
“Majlis Presiden berpandangan Perdana Menteri tidak lagi boleh berdiam diri. Selaku Ketua Majlis, beliau harus memanggil sidang khas Parlimen bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu saham Azam Baki.
“Beliau juga perlu memberi penjelasan bagaimana pengurusan dan pentadbiran SPRM telah rosak sehingga berlaku kes yang meranapkan imej institusi berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu ditandatangani bersama Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau.
Menjawab dakwaan bahawa beliau mempunyai pemilikan berjuta-juta dalam saham yang didagangkan secara terbuka, Azam dalam sidang media pada hari Rabu memberitahu bahawa beliau telah memberi kebenaran kepada adiknya untuk membeli saham menggunakan akaunnya pada 2015 – dan pihak atasannya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.
Pengerusi Lembaga Penasihat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang membersihkan Azam daripada sebarang salah laku berhubung pembelian saham korporat, selepas mereka bercakap dengan Azam mengenai perkara itu dan menerima penjelasannya.
Majlis Presiden PH berkata, mereka tidak boleh menerima penjelasan Azam dan Abu Zahar mengenai isu itu, dengan menyatakan bahawa kenyataan Azam bahawa beliau membenarkan adiknya nya membeli saham menggunakan akaun dagangannya mungkin melanggar undang-undang dan konflik kepentingan.
Menyedari bagaimana Abu Zahar “mudah menerima” penjelasan Azam, Majlis Presiden PH berkata, siasatan yang lebih terbuka dan teliti sepatutnya dijalankan kerana ia melibatkan dakwaan pembelian saham bernilai jutaan ringgit dalam syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
Dalam kenyataannya hari ini, PH berkata antara kes lain yang menjejaskan imej SPRM termasuk kecurian RM25 juta yang dikaitkan dengan siasatan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan oleh bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Ab Hamid, serta penahanan beberapa Pegawai SPRM akan membantu siasatan kes samun RM700,000.
Kenyataan mereka dibuat sehari selepas Ismail mengumumkan bahawa sidang khas Parlimen akan berlangsung pada 20 Jan untuk membincangkan situasi pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada mangsa, dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir.