
Ini kerana, kata Ahli Parlimen Pekan itu, arah tuju negara diletakkan asasnya oleh nenek moyang dan ia berbeza dengan negara lain.
“Nenek moyang kita sudah katakan mereka yang pilih negara ke arah itu. Kita pilih integrasi yang mana masyarakat Cina, India, Kadazan dan Iban, mereka ada kehidupan, budaya, agama dan bahasa sendiri.
“Tapi, kita hidup bersama secara harmoni, itu adalah Malaysia, bukannya untuk kita buat masyarakat Cina lebih Melayu, tidak,” katanya ketika berucap dalam program “Bossku our national pride” dan santai bersama Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Najib mengulas analogi “chopsticks” oleh Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang ketika mengulas proses asimilasi kaum Cina di Malaysia.
Dalam pada itu, Najib berkata, Malaysia adalah negara diversiti dan sebarang aktiviti asimilasi terhadap kaum lain tidak patut dibangkitkan.
“Kita tidak boleh jadikan masyarakat India lebih Melayu untuk jadi bangsa Malaysia, walaupun ramai ‘India’ dalam Umno, kita terima mereka sebab mereka adalah kawan kita. Kadangkala saya keliru, saya di majlis MIC ataupun Umno. Kita terima kerana itu adalah Malaysia yang diversiti, unik.”
Mahathir turut diselar bekas rakan dalam Pakatan Harapan kerana kenyataannya bahawa kaum Cina mengekalkan budaya dan cara hidup di Malaysia dengan memberi contoh mereka menggunakan penyepit ketika makan berbanding cara orang Malaysia menggunakan tangan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri itu “simplistic” dan menyinggung kaum Cina.
Terdahulu, Najib dalam ucapannya mengulangi PH adalah kerajaan gagal semasa mentadbir Putrajaya selama 22 bulan kerana mereka lebih banyak menabur janji sehinggakan rakyat terpedaya, tetapi gagal menunaikan janji itu.
“Dalam beberapa tahun ini, rakyat masih ingat mereka kena tipu oleh PH,” katanya merujuk kegagalan PH menunaikan manifesto menghapuskan tol 100%, menurunkan harga minyak sehingga RM1.50 serta menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Najib berkata, beliau boleh menabur janji seperti PH, tetapi memilih tidak berbuat demikian kerana menyedari janji itu sukar ditunaikan.