Libat urus penggiat industri untuk kawal selia vape, kerajaan diberitahu

Libat urus penggiat industri untuk kawal selia vape, kerajaan diberitahu

Pengarah Nanostix Innovation Sdn Bhd Shahabudeen Jalil berkata penggiat industri dipanggil oleh KKM untuk taklimat walaupun biasanya ia ‘hanya diberitahu perkara yang perlu dilakukan'.

Pakar ekonomi menganggarkan industri vape Malaysia boleh bernilai lebih RM10 bilion dalam masa beberapa tahun jika ia menerima suntikan rangsangan daripada kerajaan.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) digesa supaya melibatkan penggiat industri dalam usaha mengawal selia rokok elektronik dan “vape” tahun ini.

Pengarah Nanostix Innovation Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil, berkata KKM perlu mempertimbangkan semua pandangan berhubung akta untuk mengawal selia industri dengan menyebut bahawa RM2 bilion disumbang oleh sektor itu kepada ekonomi setiap tahun.

Shahabudeen berkata, penggiat industri dipanggil oleh KKM untuk diberi taklimat sepanjang tujuh tahun lepas, walaupun biasanya ia hanya “diberitahu perkara yang perlu dilakukannya”.

Katanya, penggiat industri tiada peluang untuk memberi pandangan atau maklum balas kepada kementerian dengan menyifatkannya sebagai pendekatan “atas-bawah”.

“Penggiat industri boleh memberi input tentang situasi dan industri berkenaan di Malaysia,” katanya kepada FMT.

“Teknologi vape berkembang dengan pantas dan penggiat industri adalah pakar dan perintis dalam industri. Kami tahu apa yang boleh dan tak boleh dilakukan, apa yang perlukan pelaburan besar dan apa yang tidak,” katanya.

Menurut Shahabudeen, lebih 3,300 perniagaan telah berkembang sejak kemunculan sektor berkenaan dengan 15,000 pekerjaan diwujudkan.

Beliau berkata, pengawalseliaan perlu disesuaikan mengikut situasi di lapangan dan ini akan memastikan pematuhan lebih baik.

“Pengawalseliaan harus memudahkan perniagaan yang sah, bukannya menghalang atau menyukarkan penggiat industri untuk mematuhi peraturan,” katanya sambil menegaskan bahawa beliau mengalu-alukan cadangan untuk mengawal selia industri itu.

Shahabudeen berkata, KKM perlu mendapatkan maklum balas industri kerana ia melahirkan ramai usahawan Bumiputera.

Menurutnya, lebih 3,300 perniagaan telah berkembang sejak kemunculan sektor itu dengan 15,000 pekerjaan diwujudkan.

“Pakar ekonomi menganggarkan industri vape Malaysia boleh bernilai lebih RM10 bilion dalam masa beberapa tahun jika ia menerima suntikan rangsangan daripada kerajaan, termasuk mekanisme pengawalseliaan yang sesuai,” katanya.

November lepas, KKM mengesahkan bahawa rang undang-undang mengenai pengawalseliaan tembakau, rokok elektronik, vape dan shisha mungkin dibentangkan pada sidang pertama Dewan Rakyat 2022, walaupun ia sepatutnya dibawa ke Parlimen pada 2020.

Rang undang-undang itu katanya, akan membuka jalan kepada pengawalseliaan komprehensif ke atas produk tembakau konvensional dan produk rokok baharu seperti vape yang menarik golongan muda.

Putrajaya juga merancang untuk mengenakan duti eksais sebanyak RM1.20 bagi setiap mililiter cecair vape pada 2022 untuk mengawal selia industri, di samping duti 10% ke atas semua rokok elektronik dan peranti merokok lain termasuk vape yang diperkenalkan tahun lepas.

Nanostix, yang berkembang ke luar negara seperti di United Kingdom, Australia, Rusia dan Indonesia antara lainnya telah memperjuangkan duti eksais untuk cecair vape sejak 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.