Lelaki maut diserang ‘pak belang’ di Gua Musang

Lelaki maut diserang ‘pak belang’ di Gua Musang

Mangsa diserang ketika membuang air kecil di belakang rumahnya.

Harimau belang lebih 100kg ditembak mati kerana cuba menyerang pasukan Perhilitan di hutan berhampiran Pos Bihai, Gua Musang, tengah hari tadi. (Gambar Perhilitan)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut selepas diserang seekor harimau belang jantan lebih 100kg ketika membuang air kecil di belakang rumahnya di Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan kira-kira 9 pagi tadi.

Mangsa berusia 59 tahun itu dikatakan diseret harimau itu, sebelum mayatnya ditemui anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Seorang penduduk dekat Kampung Orang Asli Sau di Pos Bihai yang enggan dinamakan berkata, haiwan liar itu mula mengganggu penduduk sejak malam semalam.

“Penduduk kampung diserang ketika keluar mencari ikan untuk menyambut pesta padi malam semalam. Kami dikejar haiwan buas itu, namun berjaya menyelamatkan diri,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, anak perempuan mangsa yang sedang menumbuk padi mengesyaki sesuatu berlaku kepada ayahnya selepas terdengar bunyi anjing menyalak kuat.

Katanya, penduduk kampung kemudian memeriksa di belakang rumah mangsa, sebelum menemui kesan darah.

“Tidak lama kemudian, penduduk terserempak harimau itu sekali lagi. Ia cuba menerkam, namun sempat dibaling dengan lembing hingga terkena matanya.”

Menurutnya, pasukan Perhilitan tiba tidak lama kemudian dan mengarahkan semua penduduk berkurung sementara di dalam rumah.

Harimau itu ditemui di hutan berhampiran tengah hari tadi, tetapi Perhilitan terpaksa melepaskan tembakan selepas haiwan liar itu cuba menyerang.

Pada 6 Julai lalu, Adin Andok, 45, parah di kepala, perut, mata kiri, bahu dan lengan kiri akibat diserang harimau di kebunnya di Kampung Badak, Pos Bihai. Mangsa sempat diselamatkan anaknya yang menyedari kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.