Polis siasat kehilangan pendawaian sistem amaran banjir di Gemas

Polis siasat kehilangan pendawaian sistem amaran banjir di Gemas

Terdapat kesan umpil di kotak siren dan di pintu pagar masuk ke kolam tadahan tersebut dan pendawaian kotak serta beberapa barangan disyaki dicuri.

Polis berkata, stesen amaran banjir yang dibina sejak 15 tahun lalu itu tidak dilengkapi penggera atau kamera litar tertutup namun berada dalam keadaan baik. Kali terakhir ia diselenggara pada 8 Dis tahun lepas. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Polis sedang menyiasat kehilangan pendawaian sistem siren amaran banjir dalam kotak siren yang berada di kolam takungan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Taman Sungai Gemas, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Tampin Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya segera ke lokasi berkenaan selepas menerima laporan daripada seorang kakitangan JPS pada 1.44 tengah hari.

“Pemeriksaan lelaki berkenaan kira-kira sejam sebelum itu mendapati terdapat kesan umpil di kotak siren dan di pintu pagar masuk ke kolam tadahan tersebut selain mengesyaki pendawaian kotak dan beberapa barangan dicuri dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM1,000.

“Lokasi siren itu juga berada berhampiran Sungai Gemas dan kawasan perumahan Taman Sungai Gemas. Tempat kejadian mempunyai pagar di sekelilingnya dan didapati terdapat kesan pagar dirosakkan ” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, stesen amaran banjir yang dibina sejak 15 tahun lalu itu tidak dilengkapi penggera atau kamera litar tertutup namun berada dalam keadaan baik dan kali terakhir ia diselenggara pada 8 Dis tahun lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.