Tubuh jawatankuasa bebas siasat sama ada balak punca banjir, kata ADUN Pahang

Tubuh jawatankuasa bebas siasat sama ada balak punca banjir, kata ADUN Pahang

Lee Chean Chung berkata aktiviti pembalakan dan pembersihan hutan di Pahang bukan isu baru dan ia rumit kerana penglibatan pelbagai pihak.

Jabatan Perhutanan Pahang mengeluarkan arahan supaya aktiviti pembalakan diberhentikan sementara bermula 3 Jan berikutan banjir dan musim tengkujuh yang melanda negara.
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat pembangkang di Pahang menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa siasatan bebas yang menyeluruh dan telus bagi menyiasat sama ada aktiviti pembalakan punca berlaku banjir.

ADUN Semambu, Lee Chean Chung berkata, kerajaan perlu memastikan siasatan dijalankan dengan telus dan mengemukakan resolusi berdasarkan hasil siasatan, bukannya sekadar menjaga kepentingan pihak tertentu dengan mengabaikan nyawa serta kepentingan rakyat.

Katanya, penjelasan juga perlu diberikan kepada lebih 10,000 mangsa banjir yang terjejas di Pahang dan rakyat di seluruh negara.

“Aktiviti pembalakan dan pembersihan hutan di Pahang bukannya satu isu yang baharu dan isu ini adalah rumit kerana penglibatan pelbagai pihak tetapi kerajaan Pahang memilih untuk mendiamkan diri sejak dulu lagi.

“Saya pernah mengutarakan isu ini dalam sesi perbahasan Belanjawan Negeri Pahang 2022 bahawa sebanyak 26% pendapatan kerajaan negeri adalah daripada pembalakan dan perlombongan, jika kerajaan negeri sendiri mempunyai beberapa anak syarikat yang terlibat secara langsung dalam aktiviti pembalakan, bagaimanakah kerajaan negeri mahu menyelesaikan masalah ini?

“Sejak dari dulu, isu seperti pencemaran Tasik Chini, isu sisa radioaktif Lynas, kerajaan negeri Pahang tidak pernah memilih untuk bersama dengan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional/Perikatan Nasional perlu mengambil keputusan segera untuk menubuhkan jawatankuasa bebas yang merangkumi parti politik dan juga pertubuhan bukan kerajaan alam sekitar dengan menjalankan siasatan.

Katanya, tindakan terbaru kerajaan Pahang melalui Jabatan Perhutanan mengeluarkan arahan supaya aktiviti pembalakan diberhentikan sementara bermula Isnin berikutan banjir dan musim tengkujuh yang melanda negara seolah-olah mengaku aktiviti pembalakan merupakan salah satu faktor menyebabkan banjir.

“Bagaimanapun, pembekuan sementara waktu tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah. Hakikatnya pembalakan dan penggondolan hutan menyebabkan kerosakan sepanjang tempoh ini tetapi tindakan dalaman yang terselindung dan hubungan urus niaga sepanjang waktu ini termasuk informasi yang tersekat menyebabkan rakyat tidak sedar apakah yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Jabatan Perhutanan Pahang mengeluarkan arahan supaya aktiviti pembalakan diberhentikan sementara bermula 3 Jan berikutan banjir dan musim tengkujuh yang melanda negara.

Pengarah Perhutanan Pahang, Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, keputusan itu dibuat bagi mengurangkan impak terhadap kawasan usaha hasil dan keselamatan pekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.