
Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, separuh daripada jumlah itu boleh digunakan untuk penyelidikan saintifik dan sebahagian lagi sebagai pampasan kepada mangsa dan projek untuk mencegah banjir seperti pengorekan sungai dan longkang tersumbat.
Katanya, sebahagian besar jumlah itu boleh dikumpul menerusi dana iklim yang dijanjikan oleh negara-negara maju namun Putrajaya mesti menunjukkan bahawa Malaysia telah mengambil tindakan iklim yang positif.
“Perkara terbaik yang boleh dilakukan ialah dengan mengawal pembalakan secara berlebihan dan mengurangkan pelepasan karbon dengan pengekalan hutan semula jadi,” katanya.

“Kita juga perlu mengurus hutan yang ditanam dan hutan semula jadi dengan lebih baik untuk mengurangkan hakisan tanah serta mencegah banjir kilat.”
Ditanya bagaimana angka RM400 juta itu diperolehi katanya ia diberi oleh pegawai kerajaan ketika beliau mewakili Malaysia ke Persidangan Perhimpunan Antara Parlimen Asean mengenai perubahan iklim pada 2019.
Wong yang juga ahli PKR berkata, Bajet 2020 memperuntukan sejumlah RM450 juta untuk pelbagai program alam sekitar namun tiada dana khusus untuk perubahan iklim.
“Kerajaan mesti mempunyai bajet khusus untuk perubahan iklim supaya kita boleh menjejaki dan melihat perbelanjaan dengan lebih jelas,” katanya.
“Ketiadaannya bermakna kita tidak mengambil serius perkara ini seperti yang sepatutnya.”
Katanya, menjelang 2024, Malaysia mungkin bersedia untuk apa yang digelarnya sebagai “bajet hijau” sekiranya Putrajaya menyusun semula pengumpulan data alam sekitar pada tahun ini.

Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran berkata, beliau percaya kedua-dua Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) mempunyai komitmen luas terhadap isu kelestarian.
Katanya, negara perlu menangani isu perubahan iklim bukan secara ideologi dengan bergantung kepada panel pakar yang bukan hanya membincangkan matlamat mengenai alam sekitar tetapi juga kos yang terlibat.
Menurutnya, beliau mengakui berasa bimbang mengenai idea bajet hijau kerana ia perlu bergerak seiring dengan kelestarian ekonomi.
“Pendekatan terbaik ialah memberi insentif kepada penyelidikan untuk penyelesaian dengan melihat dari sudut kelestarian alam sekitar dan ekonomi,” katanya.