Saya tiada kawalan penuh dana 1MDB, kata bekas CFO

Saya tiada kawalan penuh dana 1MDB, kata bekas CFO

Bekas Ketua Pegawai Kewangan Azmi Tahir berkata demikian ketika disoal balas peguam bela Najib Razak, Hariharan Tara Singh, mengenai kawalannya terhadap dana 1MDB.

Azmi Tahir menyertai 1MDB pada 2012 dan meninggalkan syarikat itu pada 2017 selepas kontraknya tidak disambung.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pegawai 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau tidak mengawal “setiap sen” syarikat walaupun mengetuai jabatan kewangan antara 2012 hingga 2017.

Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Azmi Tahir berkata demikian ketika disoal balas peguam bela Najib Razak, Hariharan Tara Singh, mengenai kawalannya terhadap dana 1MDB.

Peguam itu mencadangkan bahawa Azmi sepatutnya bertanggungjawab terhadap penggunaan wang 1MDB dan membantah sekiranya merasakan sesuatu tidak kena.

Bagaimanapun, Azmi berkata 1MDB bukan syarikat biasa, dan beliau tidak memiliki kawalan terhadap setiap sen.

Katanya, jika beliau mempunyai kawalan penuh terhadap dana 1MDB sudah pasti wang itu akan digunakan untuk melunaskan hutang syarikat.

Katanya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Mohd Hazem Abdul Rahman pernah memberitahunya, Pengerusi Che Lodin Wok Kamaruddin ketika itu memaklumkan Najib bahawa 1MDB memerlukan dana yang disimpan di bank di luar negara digunakan untuk menampung operasi dan menyelesaikan hutang syarikat.

Katanya, Hazem memaklumkan, Lodin bagaimanapun diarahkan Najib supaya “tidak menyentuh” dana berkenaan.

Azmi juga berkata tiada sebab untuk beliau “menggunakan” nama Najib bagi mewajarkan sebarang transaksi yang dilihat boleh dipertikaikan.

“Saya tidak pernah ‘menggunakan’ nama Perdana Menteri. Sebelum (menyertai) 1MDB saya bukan sesiapapun. Ramai orang yang berpengalaman dan senior dalam lembaga pengarah.

“Adakah mereka percaya jika saya berbuat demikian (menggunakan nama Najib)?” soalnya, seterusnya menafikan dakwaan pembelaan bahawa beliau menggunakan nama bekas pemimpin itu untuk kepentingan peribadi.

Hariharan kemudian menyoal sama ada Azmi mengesahkan dengan Najib sebarang arahan yang diberikan kepadanya oleh ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Saya benar-benar percaya beliau (Low) wakil Perdana Menteri dalam 1MDB,” kata Azmi.

Bagaimanapun, peguam itu mempertikaikan keterangannya dengan mengatakan Low tidak pernah menjadi wakil Najib.

“Dalam pernyataan saksi, kamu katakan arahan Jho Low mendapat ‘restu’ Najib. Jadi ini sekadar andaian kami dan tidak berasas, bukan?” soalnya.

Azmi bagaimanapun berkata pernyataan saksinya mengatakan apa dirasainya mengenai 1MDB.

“Memang itu yang kami percaya,” katanya.

Sementara itu, katanya, beliau meninggalkan 1MDB pada 2017 selepas syarikat melaksanakan langkah penjimatan susulan Arul Kanda Kandasamy menyertai syarikat.

Hariharan bagaimanapun membetulkan kenyataannya itu dengan berkata kontrak Azmi sebenarnya tidak diperbaharui.

Azmi menjawab, mengikut pemahamannya, keputusan tidak memperbaharui kontraknya bersamaan dengan langkah pengurangan tenaga kerja.

Beliau memberi keterangan terhadap Najib yang didakwa atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, dimasukkan ke akaun AmBank beliau antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.