Saya tak pernah didakwa berhubung transaksi 1MDB, bekas CFO beritahu mahkamah

Saya tak pernah didakwa berhubung transaksi 1MDB, bekas CFO beritahu mahkamah

Azmi Tahir turut menafikan namanya dikeluarkan daripada tuntutan mahkamah kerana beliau akan memberi keterangan yang boleh mensabitkan Najib Razak.

Najib berdepan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pegawai 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan Najib Razak bahawa beliau tidak pernah didakwa atas salah laku berhubung transaksi kewangan syarikat.

Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Azmi Tahir turut menafikan namanya dikeluarkan daripada tuntutan mahkamah kerana beliau akan memberi keterangan yang boleh mensabitkan Najib.

Azmi, yang memegang jawatan CFO dari 2012 hingga 2017 berkata, beliau hanya dipanggil polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk direkodkan kenyataannya.

Beliau dipanggil untuk membantu siasatan polis dan SPRM dari 2015 tetapi “tidak tahu mengapa tiada tuduhan terhadap saya”, katanya.

“Bekas Ketua Pegawai Eksekutif saya (Mohd Hazem Abdul Rahman dan Shahrol Azral Ibrahim Halmi) dan pengarah juga tidak didakwa,” kata Azmi menjawab soalan peguam Najib, Hariharan Tara Singh.

Pihak pembelaan menyoal Azmi sama ada tuduhan jenayah telah difailkan terhadapnya selain menyatakan bahawa beberapa bekas kakitangan 1MDB, termasuk peguam am Loo Ai Swan serta eksekutif Tang Keng Chee dan Geh Choh Heng didakwa secara “in absentia”.

Hariharan berkata, Geh, iaitu timbalan Azmi, didakwa atas tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) berhubung pemindahan USD125 juta kepada Good Star, sebuah syarikat yang dikawal oleh ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho dan juga dikenali sebagai Jho Low.

Low dan pembantunya, Tan Kim Loong, turut didakwa.

“Adakah anda mengetahui butiran tuduhan Terence (Geh)?” tanya Hariharan.

Azmi menjawab: “Saya tidak tahu secara spesifik tuduhan itu dan tidak boleh memberi komen.”

Hariharan kemudian cuba bertanya kepada Azmi mengenai tuduhan pengubahan wang haram Low, tetapi hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah mencelah dengan berkata, Azmi tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai tuduhan itu.

Azmi berkata, beliau hanya membaca dalam laporan media bahawa 1MDB memfailkan saman terhadapnya dan beberapa individu lain tahun lepas.

“Saya tidak pernah menerima salinan tuntutan mahkamah,” katanya.

Dalam tuntutan itu, kerajaan, melalui 1MDB dan anak syarikatnya, mendakwa beberapa individu melakukan salah nyata ‘fraud’, pelanggaran tugas, pelanggaran kewajiban berkanun dan pengayaan tak patut.

Pada mulanya Azmi, Hazem, Shahrol, bekas pengarah Che Lodin Wok Kamaruddin, Ismee Ismail, Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram serta Najib, Loo, Tang, Geh, Vincent Koh Beng Huat, Nik Faisal Ariff Kamil, Kelvin Tan dan Radhi Mohamad dinamakan sebagai defendan.

Bagaimanapun, Azmi serta bekas CEO dan pengarah digugurkan daripada tuntutan itu.

Hariharan: Bolehkah anda mengesahkan bahawa 1MDB pada mulanya mahu menuntut lebih USD3.5 bilion daripada anda dan yang lain?

Azmi: Ya, seperti yang dinyatakan dalam dokumen mahkamah.

Hariharan: Saya tegaskan bahawa nama anda dikeluarkan kerana anda akan memberi keterangan yang boleh mensabitkan Datuk Seri (Najib)?

Azmi: Tidak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.