Pakar kesihatan setuju tiada lagi dos penggalak secara ‘walk-in’ di PPV offsite

Pakar kesihatan setuju tiada lagi dos penggalak secara ‘walk-in’ di PPV offsite

Menurut mereka keputusan itu boleh mengelakkan daripada tercetusnya kluster Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV).

Warga emas menunggu untuk mendapatkan suntikan dos penggalak di PPV Kelana Jaya semalam. Ada segelintir yang mengadu terpaksa menunggu lebih sejam.
PETALING JAYA:
Dua pakar kesihatan menyokong keputusan kerajaan untuk tidak lagi memberi suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 secara ‘walk in’ di luar pusat pemberian vaksin (PPV) offsite.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, penerima vaksin sebaliknya perlu menghubungi PPV terdekat untuk membuat janji temu bagi mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Langkah untuk tidak lagi memberi suntikan secara ‘walk in’ adalah untuk mengelakkan daripada tercetusnya kluster Covid-19 di PPV,” kata Koh.

Katanya, pemberian vaksinasi secara janji temu akan memastikan prosedur lebih teratur.

Beliau juga menjangkakan tidak ada perubahan dalam kadar pembaziran vaksin sekiranya orang ramai tidak datang ke janji temu mereka.

Lee bersetuju bahawa kerajaan akan menghubungi orang lain dengan segera untuk menggantikan mereka yang tidak hadir ke janji temu itu.

Katanya, sistem janji temu perlu diperkemaskan.

“Mereka perlu melakukan pengesahan susulan dengan penerima vaksin sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh vaksinasi,” katanya.

“Pada masa sama, satu sistem mesti disediakan untuk mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai jenis vaksin untuk dos penggalak.”

Beliau berkata, klinik swasta dan pusat perubatan awam perlu digunakan sepenuhnya dalam pemberian dos penggalak manakala PPV mega tidak diperlukan kerana tiada keperluan untuk mempercepatkan kadar vaksinasi.

Berkuat kuasa serta merta, suntikan dos penggalak secara “walk-in” tidak lagi diberikan di luar pusat pemberian vaksin (PPV) offsite, menurut ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), syarikat kerajaan yang mengurus program imunisasi.

Keputusan itu berikutan orang ramai terpaksa berbaris panjang di beberapa pusat vaksinasi di Lembah Klang dan Pulau Pinang baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.