GRS sambut baik keputusan Peter tubuh parti baharu

GRS sambut baik keputusan Peter tubuh parti baharu

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor berkata, langkah dibuat ADUN Melalap itu dilihat sebagai satu perkembangan baik, lebih-lebih lagi parti akan ditubuhkan itu mesra kerajaan GRS.

Hajiji (tengah) menyampaikan bantuan kepada salah seorang mangsa banjir di Kota Marudu, hari ini.
KOTA MARUDU:
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor menyambut baik keputusan bekas Naib Presiden Warisan Peter Anthony yang mahu menubuhkan parti tempatan baharu.

Beliau yang juga Ketua Menteri berpendapat, langkah dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu dilihat sebagai satu perkembangan baik, lebih-lebih lagi parti yang akan ditubuhkan itu nanti mesra kerajaan GRS.

“Kita mengamalkan demokrasi dan beliau sudah membuat keputusan mahu menubuhkan parti baharu yang mesra dengan kerajaan GRS.

“Bagi saya, selaku ketua kerajaan GRS, hal ini sesuatu perkembangan yang baik kerana akan menguatkan lagi kerajaan negeri, kita berterima kasih kepada beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan bantuan wang ihsan RM1,000 dan penyerahan bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji berkata, setakat ini, tiada sebarang pertemuan atau perbincangan antara beliau dengan Peter.

Terdahulu, Peter bersama ADUN Limbahau, Juil Nuatim mengumumkan keluar Warisan pada Dis lalu.

Peter turut memaklumkan bakal menubuhkan sebuah parti tempatan baharu yang mesra kepada kerajaan negeri GRS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.