
Abbas Zadehaghdahloo Sholeh dan Azadegan Golara sebaliknya didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan atas tuduhan memiliki dadah.
Abbas, 54, dan Azadegan, 33, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 18 tahun kerana memiliki 1.9kg dadah yang disembunyikan dalam bagasi.
Azadegan dijatuhi satu lagi hukuman penjara 20 tahun kerana memiliki 2.9kg metamfetamin yang disembunyikan di dalam bagasi lain.
Bagaimanapun, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat memerintahkan hukumannya dijalankan serentak, bermakna dia hanya akan dipenjarakan selama 20 tahun.
Mereka melakukan kesalahan itu di terminal ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira 9.15 malam pada 15 Feb 2013.
Terdahulu, Tengku Maimun yang bersidang bersama Mohd Zawawi Salleh dan Mary Lim Thiam Suan berkata, terdapat merit dalam rayuan itu.
“Terdapat salah arah yang serius, selepas meneliti alasan penghakiman dan nota keterangan di Mahkamah Tinggi. Ini memerlukan campur tangan rayuan,” katanya.
Mahkamah mengetepikan sabitan tuduhan pengedaran dan menggantikannya dengan sabitan pemilikan.
Peguam Kitson Foong, yang mewakili Abbas, berhujah bahawa hakim perbicaraan menyatakan dalam nota keterangannya bahawa tertuduh gagal menyangkal anggapan pemilikan mengikut Seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Bagaimanapun, dalam alasan bertulisnya hakim berkata, kedua-dua tertuduh mempunyai pengetahuan dan kawalan ke atas dadah di dalam bagasi berdasarkan keterangan langsung,” katanya sambil menambah bahawa hakim nampaknya seperti keliru.
Peguam Collin Andrew, yang mewakili Azadegan, berhujah bahawa hakim perbicaraan gagal membuat keputusan afirmatif bahawa anak guamnya mempunyai pengetahuan bahawa dadah itu berada di dalam bagasi.
“Salah arah itu merosakkan. Sabitan bagi (tuduhan) pengedaran menjadi tidak selamat dan tuduhan boleh dikurangkan kepada pemilikan,” kata Andrew, yang dibantu oleh Chan Yen Hui.
Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak tersilap dalam undang-undang dan fakta dan ini disahkan oleh Mahkamah Rayuan.
“Terdapat bukti kukuh untuk mengekalkan tuduhan pengedaran,” katanya.
Menurut fakta kes, kedua-dua tertuduh terbang dari Tehran ke Lahore, Pakistan, untuk menghadiri majlis perkahwinan.
Mereka datang ke Malaysia sebagai pelancong tetapi ditangkap bersama bagasi yang mengandungi dadah itu.