
Ia terbongkar susulan polis menerima laporan semalam daripada seorang suri rumah berusia 40 tahun selepas menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai insurans.
Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai, berkata suspek kemudian menyambung panggilan itu kepada seorang ‘pegawai polis’ dan mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan rasuah.
Beliau berkata, ‘pegawai’ tersebut membuat panggilan video dengan berpakaian uniform dan menggunakan aplikasi yang menampakkan mulutnya bergerak seolah-olah perbualan itu dengan pegawai sebenar untuk mengelirukan mangsa.
“Siasatan mendapati, sindiket itu cuba mengelirukan orang ramai dengan membuat panggilan video menggunakan aplikasi tersebut untuk menampakkan kesahihan pemanggil sebenar.
“Sedangkan ia telah diubah suai dengan menampakkan pergerakan mulut semata-mata dan gambar wajah yang disunting. Kaedah ini boleh memperdayakan orang ramai sehingga mengakibatkan kerugian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, pihaknya memandang serius kes melibatkan panggilan palsu menggunakan gambar profil pegawai polis dan pihak penguat kuasa bagi mengaburi orang ramai.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan membuat penilaian dan semakan terlebih dahulu, agar tidak menjadi mangsa penipuan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebat,” katanya.
Beh berkata, sebagai langkah pencegahan, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk semakan akaun terlibat kes penipuan.
Sebarang maklumat atau aktiviti mencurigakan, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222.