
Ketua Pengarahnya, Mohd Zubil Mat Som berkata, kapal dagang milik Indonesia terputus tali tunda pada kedudukan kira-kira 120 batu nautika dari Kuala Terengganu, semalam.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada syarikat perkapalan di Indonesia mengenai Kapal Winposh Rampart, sepanjang 72 meter dan seberat 2,588 tan yang rosak, hanyut selepas tali tunda terputus.
Katanya, sebelum itu kapal tanpa kru tersebut sedang ditunda kapal Limin Rosmina, milik syarikat perkapalan sama menuju ke Yang Pu, China dari Matak, Indonesia.
“Kejadian berlaku jam 3.15 petang, dengan kedua-dua kapal terbabit berada di perairan Vietnam dan disebabkan cuaca buruk, ia hanyut hingga memasuki perairan Malaysia.
“Analisis penilaian risiko mendapati kapal Winposh Rampart berpotensi melanggar pelantar minyak Telok A milik Petronas dan boleh mengakibatkan ia meletup serta melibatkan kemalangan nyawa sekiranya tiada bantuan awal diberikan untuk menanganinya,” katanya dalam kenyataan.
Berikutan itu katanya, Maritim Malaysia telah mengkoordinasi bantuan bersama Petronas untuk menunda kapal tersebut ke lokasi lebih selamat.
“Pasukan Tindakan Khas (PTK) Maritim Malaysia juga diatur gerak bersama pesawat AW139 bagi menganalisis situasi dan mengenal pasti kaedah bagi mengelakkan kapal daripada terus hanyut dan risiko kebarangkalian melanggar pelantar.
“Kami telah menggerakkan aset antaranya Kapal Maritim (KM) Jujur dan pesawat AW139 bersama enam anggota PTK ke lokasi untuk memberi bantuan. Manakala itu Petronas turut menghantar kapal Icon Lotus dan SK Pilot pada jam 10 pagi tadi bagi memantau serta membantu operasi tersebut,” katanya.