
Dalam satu kenyataan, ANIH Berhad, iaitu pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KL-Karak) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) berkata, pengguna lebuh raya yang ingin ke pekan Karak tidak perlu membuat pusingan ‘U’ sebelum plaza tol Karak dan boleh meneruskan perjalanan seperti biasa untuk sampai ke destinasi masing-masing.
Bagaimanapun katanya, pengguna yang menghala ke Kuala Lumpur dari Karak masih perlu melakukan pusingan ‘U’ di plaza tol berkenaan.
“Pada masa ini, lorong kiri dan kanan menghala ke Kuala Lumpur dari KM66 hingga KM70 sudah dibuka sepenuhnya.
“Namun, pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi papan tanda arah keselamatan apabila menghampiri lorong kontra bermula dari Sungai Dua, di KM74.8 hingga KM77.3, untuk memastikan keselamatan dan keselesaan semua”, kata Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi.
Sebelum ini, ANIH Berhad memaklumkan laluan yang ditutup akibat banjir masih belum dibuka terutamanya di KM76 hingga KM126 Lanchang-Temerloh di LPT1 dan KM71 KL-Karak yang ditutup di kedua-dua arah.