Kes anggota polis belasah wanita dalam lif siap, tunggu keputusan AGC

Kes anggota polis belasah wanita dalam lif siap, tunggu keputusan AGC

Lelaki berkenaan didakwa memukul berulang kali seorang wanita dan mengheretnya keluar daripada lif dengan menarik rambut mangsa, dalam kejadian di Jalan 2, Chan Sow Lin, Cheras, pada 17 Nov lalu.

Tangkap layar daripada rakaman video memaparkan seorang anggota polis disyaki memukul berulang kali seorang wanita dalam lif dan mengheret mangsa keluar lif dengan menarik rambutnya.
PETALING JAYA:
Kertas siasatan berhubung kes anggota polis memukul seorang wanita dalam lif di sebuah bangunan di Cheras sudah dilengkapkan dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC).

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Annas Sulaiman ketika mengesahkan kepada FMT berkata, anggota polis yang disyaki terbabit itu sudah pun diambil keterangan.

Lelaki berkenaan didakwa memukul berulang kali seorang wanita dan mengheretnya keluar dari lif dengan menarik rambut mangsa dalam kejadian di Jalan 2, Chan Sow Lin, Cheras, pada 17 Nov lalu.

Lelaki terbabit dilaporkan membayar kepada wanita itu RM2,500 dengan harapan menemukannya dengan teman hidup menerusi laman web, namun tiada pasangan ditemukan dalam tempoh enam bulan.

Sebelum ini, Ketua Polis Cheras Muhammad Idzam Jaafar berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Susulan itu, Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata, anggota polis terbabit dipindahkan ke bahagian pentadbiran sehingga siasatan selesai.

Katanya, lelaki berkenaan bukan pegawai kanan polis, tetapi adalah detektif berpangkat koperal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.