
Hampir semua yang beratur adalah warga emas yang terpaksa menunggu sekurang-kurangnya sejam di tepi jalan.
Tiada penjarakan fizikal diamalkan dalam barisan sepanjang 50m itu dan mereka yang beratur juga perlu mengelak trafik di laluan dua hala tersebut.
Seorang petugas di pusat itu didengar memberitahu orang ramai yang beratur bahawa kelewatan itu disebabkan mereka datang tanpa membuat janji temu.
Pertikaian kecil menyusul kerana mereka yang datang untuk menerima vaksin secara “walk in” diminta berpatah balik. Seorang lelaki yang datang tanpa membuat janji temu berkata, beliau menyangka sesiapa sahaja boleh pergi ke mana-mana pusat vaksinasi untuk mendapatkan dos penggalak.
Seorang pesara yang hanya mahu dikenali sebagai Cheng, 65, berkata, beliau terpaksa meletak kenderaan jauh dari pusat vaksinasi itu dan diminta beratur di tepi jalan.

Katanya, jarak kenderaan lalu lalang yang hampir dengan barisan orang ramai mendatangkan bahaya.
Cheng berkata, pusat vaksinasi itu yang bertempat di sebuah banglo dengan pekarangan yang luas sepatutnya membenarkan orang ramai menunggu di dalam, bukan beratur di tepi jalan.
K Malarvathy, 58, berkata, tiada sesiapa yang mengamalkan penjarakan fizikal, tetapi mujur cuaca tidak terlalu panas.
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer turut hadir menemani ibunya yang berkerusi roda, R Krishnaveni, 78, beratur.
Katanya, beliau terpaksa menunggu 45 minit untuk ibunya mendapatkan suntikan penggalak dan keadaan itu tidak boleh diterima kerana warga emas terpaksa beratur begitu lama.
Seorang pegawai di pusat vaksinasi itu belum menjawab permintaan komen daripada FMT ketika berita ini ditulis.