Kes curi RM25 juta: Pegawai SPRM didakwa esok

Kes curi RM25 juta: Pegawai SPRM didakwa esok

SPRM berkata, agensi itu menerima kebenaran untuk mendakwa seorang pegawai suruhanjaya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Tiga individu iaitu seorang pegawai SPRM dan dua pengurus syarikat dalam dua kes berbeza dijadualkan didakwa esok, kata SPRM.
PETALING JAYA:
Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa mempunyai kaitan dengan kehilangan wang sebanyak RM25 juta dijangka dihadapkan ke mahkamah esok.

SPRM dalam kenyataan berkata, agensi itu menerima kebenaran untuk mendakwa seorang pegawai suruhanjaya tersebut di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

“Tiga individu iaitu seorang pegawai SPRM dan dua pengurus syarikat dalam dua kes berbeza didakwa esok pada pukul 8.15 pagi,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Sementara itu, sumber memberitahu pendakwaan tersebut melibatkan kejadian kehilangan RM25 juta yang dilaporkan sebelum ini.

September lalu, SPRM menahan tiga pegawainya selepas bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid membuat laporan bahawa sejumlah besar wang tunai yang dirampas suruhanjaya itu ketika menyiasatnya pada 2018 telah hilang.

Semalam, seorang pegawai SPRM yang didakwa terlibat dengan kecurian duit berkenaan dilaporkan kini ditahan di Penjara Simpang Renggam mengikut Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, pegawai berusia 40 tahun itu menjalani hukuman dua tahun disebabkan terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.