
Perkara itu dimaklumkan peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana ketika dihubungi di sini selepas pendengaran permohonan tersebut secara dalam talian di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Dua individu yang membuat permohonan itu ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar, 43, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad, 42.
Mereka memfailkan permohonan itu pada 16 Disember lalu dengan menamakan Siti Nordiana sebagai responden.
Menurut Abang Azlan, dalam prosiding kes hari ini, pihak responden iaitu Siti Nordiana bersetuju untuk bicara kes saman itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
“Maka, perbicaraan di Mahkamah Sesyen (yang dijadualkan esok) ditangguhkan. Selanjutnya tiada kos dikenakan kepada semua pihak yang mana perpindahan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi dibenarkan bagi memberikan ruang bicara yang lebih adil kepada semua pihak,” kata peguam seperti dilaporkan Kosmo Online.
Tambahnya, Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa yang lebih luas untuk memberi remedi (ganti rugi) kepada Siti Nordiana sekiranya keputusan kes memihak kepadanya.
Siti Nordiana, 37, memfailkan saman RM2.5 juta terhadap lima defendan yang didakwa memfitnahnya di Instagram.
Tiga defendan lain ialah penyanyi, Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 36, serta penyanyi, Syura atau Zuraidah Badron, 35.