
Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, Tan menyatakan hasrat untuk berundur ketika mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan persatuan susulan kegagalan skuad kendaliannya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.
“Selepas berbincang secara terbuka dari semua sudut, pihak pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut dan bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan.
“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang telah berkhidmat bersama FAM sejak bergelar penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan pada 2005 hingga 2013 sebagai penolong jurulatih kebangsaan, dan kembali semula pada 2017 sebagai penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada.”
Antara kejayaan yang diraih Tan adalah membantu pasukan negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2009. menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada K Rajagobal dan menjadi naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.
“Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Terima kasih. Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini,” kata Saifuddin.