
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati wanita yang bertindak sebagai perancang jenayah itu merupakan bekas pekerja premis perniagaan berkenaan selama tiga bulan pada 2019.
“Dalam kejadian 10 malam Khamis lalu, penjaga premis perniagaan berkenaan melaporkan tiga lelaki tempatan memecah masuk biliknya dan mengacukan sebilah pisau serta memaksanya menyerahkan wang dimiliki.
“Mangsa kerugian kira-kira RM19,000 serta sebuah telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan.
Fakhrudin berkata, bertindak daripada maklumat mangsa, anggotanya melakukan beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang pada 1.30 pagi semalam dan menahan empat suspek berusia 19 hingga 30 tahun.
Beliau berkata, pihaknya juga merampas sebuah kereta Proton Satria, sebilah pisau, lima telefon bimbit, dua beg bimbit dan wang tunai berjumlah RM7,000 daripada semua suspek.
“Suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dengan bersenjata.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun dan sebat,” katanya.