Tangguh umrah sementara jejas 10,000 jemaah, kata persatuan pelancongan

Tangguh umrah sementara jejas 10,000 jemaah, kata persatuan pelancongan

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia berkata, kira-kira 5,000 jemaah dijadualkan bertolak ke Arab Saudi bulan ini dan baki separuh lagi pada bulan depan serta Mac.

Putrajaya memutuskan aktiviti umrah ditangguhkan mulai 8 Jan ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak, dengan jemaah akan mendapat bayaran balik atau dijadualkan semula perjalanan mereka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kira-kira 10,000 jemaah dijangka terkesan dengan keputusan Putrajaya menangguhkan ibadah umrah mulai 8 Jan ini akibat penularan varian Omicron, kata Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH).

Presidennya, Razali Mohd Sham berkata, kira-kira 5,000 jemaah daripada jumlah itu dijadualkan bertolak ke Arab Saudi bulan ini dan bakinya pada bulan depan serta Mac.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum kepentingan mengawal penularan Covid-19, tetapi kerajaan perlu mengambil kira nasib agensi pelancongan yang mengendalikan umrah dan bakal jemaah.

Beliau sekali lagi meminta kerajaan menarik semula penangguhan itu dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ketat, dengan menetapkan syarat kuarantin di stesen kuarantin atau hotel terpilih.

“Kos untuk kuarantin boleh dikenakan kepada jemaah.

“Langkah itu lebih praktikal berbanding penangguhan sementara mengerjakan umrah. Jemaah dapat mengerjakan umrah, agensi pelancongan tidak menanggung kerugian besar dan penularan wabak dapat dibendung,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan aktiviti umrah ditangguhkan mulai 8 Jan ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak, dengan jemaah akan mendapat bayaran balik atau dijadualkan semula perjalanan mereka.

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta PAPUH untuk membantu semua bakal jemaah umrah yang terkesan dengan penangguhan itu.

Susulan itu, PAPUH bersama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (BUMITRA) dan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) meminta kerajaan memberikan sekurang-kurangnya sebulan sebelum melaksanakan penangguhan itu.

Mereka mendakwa keputusan terlalu drastik tanpa rundingan dengan agensi pelancongan itu, akan membawa kerugian besar dan kos pembatalan tinggi kepada jemaah tempatan yang sudah mendaftar dianggarkan mencecah RM210 juta bagi penggal pertama tahun ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkongsi data yang dikemas kini KKM menunjukkan 1,306 daripada 11,108 jemaah di seluruh negara, kecuali Putrajaya, disahkan positif Covid-19 dari 25 Nov hingga 30 Dis lalu.

Daripada 1,306 atau 1.8% jemaah yang pulang ke Malaysia dan disahkan positif Covid-19 itu, 592 orang dikesan positif menerusi ujian pertama semasa tiba di KLIA dan 714 kes dikesan positif melalui ujian kedua pada hari kelima kuarantin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.