
Setakat jam 4 petang, Sungai Segamat di Kampung Awat dan Sungai Muar di Buloh Kasap, berada pada paras bahaya, menurut Ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara Kumar.
Katanya, pada jam 2 petang tadi, Jalan Kuala Paya di Kampung Balai Badang, Jalan Putting di Kampung Putting dan Jalan Jabi di Kampung Bukit Tempurong, termasuk Jalan Tumang dan Jalan Serakek, ditutup susulan banjir.
“Pihak berkuasa sedang memantau paras air dan sudah meletakkan tanda amaran di kawasan terjejas,” katanya kepada FMT.
Menurut dapatan dalam Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang dikemaskini pada 6.50 petang tadi, seramai 2,684 mangsa banjir di Johor sudah dipindahkan, dengan 2,508 daripadanya dari Segamat.
Johor juga sudah membuka 43 pusat pemindahan sementara bagi menampung pertambahan mangsa banjir.
“Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah adalah satu-satunya yang diberi kuasa melaksanakan tindakan,” kata Santhara.
“Bagaimanapun, sebagai Ahli Parlimen, saya sudah memberikan bantuan sedaya mungkin di pusat pemindahan dengan menyediakan bakul makanan, selimut, sanitasi tangan, dan topeng muka,” katanya.
Dalam pada itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, akan digerakkan bagi membantu operasi banjir di daerah Segamat, bermula esok.
Pemangku Ketua Polis Johor Khaw Kok Chin, berkata pada peringkat permulaan, satu platun membabitkan 42 anggota akan digerakkan ke daerah terbabit dan jumlah keanggotaan akan ditingkatkan bergantung kepada situasi.
“Kawasan teruk terjejas adalah di Labis, Jementah, Tenang, Buloh Kasap, Bandar Segamat dan Batu Anam,” katanya.
Beliau berkata, kawasan lain yang dipantau membabitkan Tangkak dan Kota Tinggi dengan pasukan juga akan digerak sekiranya diperlukan.