
Shafie berkata, dirinya pernah menghadapi tekanan serupa, namun berbekalkan pendirian dan disiplin tegas, beliau kekal berjuang serta memimpin Warisan sehingga kini.
“Saya simpati dengan beliau (Peter), saya faham keadaan dia, tekanan yang dihadapi, bukan saya tidak faham, bukan saya tidak tahu.
“Dalam dunia politik ini, dulu pun saya macam itu juga, ditahan tidur di lantai, macam-macam dalam dunia politik ini, tapi kita kena ada pendirian, kita kena ada ketegasan dari segi disiplin hidup,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu setibanya dari Kuala Lumpur.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berwajib sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Peter atau sebaliknya, tanpa menjelaskan pihak berwajib yang dimaksudkannya.
“Tiada tindakan (terhadap Peter), dia sudah keluar parti, apa lagi tindakan kita harus ambil? (Dari segi undang-undang) itu bukan hal saya nak menjalankan, kita serahkan kepada pihak yang berwajib.”
Beliau berkata, Warisan tidak goyah walaupun beberapa pemimpinnya meninggalkan parti itu kerana ia perkara biasa dalam politik untuk pemimpin parti keluar menubuhkan parti baharu.
“PBS dulu pun melahirkan banyak ‘anak’, PBRS, SAPP, UPKO, LDP, macam-macam ‘anak’, tetapi perubahan tidak juga berlaku,” katanya.
Selasa lalu, Peter dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Juil Nuatim mengumumkan keputusan meninggalkan warisan, dengan Peter akan menubuhkan parti baharu berasaskan masyarakat Kadazan Dusun Murut yang mesra kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah pada bulan ini.
Dalam perkembangan lain, Shafie berkata, Warisan semakin mendapat sambutan menggalakkan di Semenanjung.
“Alhamdulillah ramai (sertai Warisan), sepatutnya saya berada di Johor minggu ini, terima orang masuk (daripada) bekas Umno, bekas MIC, bekas MCA, bekas pejuang Bersatu, tapi kita tunggu, saya tak mahu cakap banyak sangat.”