Banjir: RM1 bilion kos baik pulih infrastruktur rosak seluruh negara

Banjir: RM1 bilion kos baik pulih infrastruktur rosak seluruh negara

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya berkata, infrastruktur seperti jalan raya, jambatan dan cerun di bawah seliaan KKR perlu dibaiki segera agar akses serta kesalinghubungan rakyat dapat diteruskan.

Wan Uzir Wan Sulaiman (dua ari kanan) melihat jambatan sementara yang akan dipasang di Sungai Lui hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini memaklumkan kerja pembaikan infrastruktur rosak akibat banjir di seluruh negara dijangka membabitkan kos RM1 bilion.

Ketua Setiausaha KKR, Wan Uzir Wan Sulaiman berkata infrastruktur seperti jalan raya, jambatan dan cerun di bawah seliaan KKR perlu segera dibaiki agar akses serta kesalinghubungan rakyat dapat diteruskan.

Beliau berkata, selaras saranan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, kerja pembaikan infrastruktur tidak boleh ditangguh dan perlu dilaksanakan segera.

“Fokus utama untuk memastikan laluan terjejas dapat dilalui dan kemudiannya memastikan cerun-cerun serta infrastruktur berkenaan selamat,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Wan Uzir juga memaklumkan KKR sedang mengambil langkah untuk menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir.

“Banjir baru-baru ini mengakibatkan kerosakan dan gelombang kedua boleh mengakibatkan lebih banyak kerosakan. Antara contoh langkah berjaga-jaga yang telah diambil, KKR sedang bekerjasama dengan Jabatan Hutan untuk memastikan hutan dan cerun tidak rosak.

“Kami telah mengenal pasti cerun yang ‘cedera’ dan memasang perlindungan untuk mengelakkan cerun runtuh.”

Beliau bersama Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Mohamad Zulkefly Sulaiman meninjau pemasangan jambatan sementara (Bailey Bridge) di Kampung Tanjung Pauh, Hulu Langat, dekat sini yang akan menghubungkan 12 keluarga “terperangkap”, selepas jambatan kekal merentasi Sungai Lui ke kampung itu runtuh 18 Dis lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.