Kumpulan pencarum kempunan, hasrat temui CEO KWSP gagal

Kumpulan pencarum kempunan, hasrat temui CEO KWSP gagal

Kumpulan berkenaan berharap menemui Amir Hamzah Azizan bagi meminta kerajaan membenarkan pengeluaran i-Citra RM10,000.

Kumpulan terbabit hadir di hadapan bangunan KWSP kira-kira jam 2.45 petang tadi.
KUALA LUMPUR:
Sekumpulan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini gagal dalam usaha menemui CEO agensi itu, Amir Hamzah Azizan bagi menyuarakan hasrat meminta kerajaan membenarkan pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000.

Wakil pencarum, Khairul Anuar Othman berkata, satu pertemuan akan dibuat bersama Amir dalam masa terdekat selepas berjumpa dengan seorang pegawai KWSP di Jalan Raja Laut di sini.

Sebelum itu dalam sidang media di hadapan bangunan itu, Khairul berkata, kehadirannya adalah bagi mewakili pencarum untuk menyuarakan hasrat dan rintihan mereka yang sebahagiannya dalam kesusahan susulan bencana banjir baru-baru ini.

Beliau juga menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz supaya mendengar suara mereka berkaitan tuntutan oleh pencarum KWSP itu.

“Dengar rintihan dan suara rakyat. Kami pencarum dalam kepayahan dan derita.

“Bantuan RM1,000 daripada kerajaan dan zakat sebanyak RM600 tidak cukup untuk kami teruskan kehidupan,” katanya di hadapan bangunan KWSP bersama kira-kira 10 pencarum lain.

Mereka hadir di hadapan bangunan KWSP kira-kira jam 2.45 petang tadi namun tiada perhimpunan dibuat mahupun perarakan bantahan dari Pusat Beli-Belah Sogo ke bangunan itu.

Dalam pada itu, Khairul berkata, sekiranya suara pencarum tidak didengar hari ini, satu kumpulan pencarum KWSP akan menghantar memorandum kepada Ismail di Parlimen dalam masa terdekat.

Terdahulu, FMT melaporkan tiada himpunan aman solidariti pencarum KWSP dibuat pagi tadi.

Difahamkan, himpunan yang mahu menuntut pengeluaran i-Citra RM10,000 itu dibatalkan pada saat akhir berikutan kegagalan mendapat permit polis.

Himpunan itu yang sepatutnya bermula pada 8.30 pagi tadi di hadapan pusat membeli belah Sogo dilihat lengang tanpa kehadiran peserta.

Tinjauan FMT mendapati laluan jalan di hadapan Sogo sehingga ke bangunan KWSP, Jalan Raja Laut dipantau polis sejak 8 pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.