Tiada aset khusus dicair tampung skim pengeluaran KWSP, kata menteri

Tiada aset khusus dicair tampung skim pengeluaran KWSP, kata menteri

Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata KWSP mencairkan aset ‘berlandaskan perjalanan biasa urusan’ untuk menampung skim pengeluaran.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata KWSP mempunyai aset mencukupi bagi memastikan dana tersedia untuk pengeluaran dan perbelanjaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mencairkan sebarang aset khusus untuk membiayai skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra serta kemudahan pengeluaran khas sekali beri RM10,000 terakhir pada April lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata KWSP mencairkan aset “berlandaskan perjalanan biasa urusan” untuk menampung skim pengeluaran tersebut.

“Sebarang pembelian dan penjualan aset-aset pelaburan KWSP adalah tertakluk kepada aktiviti pengimbangan semula portfolio pelaburan yang berpandukan SAA (Alokasi Aset Strategik) serta bertujuan untuk menjana pendapatan nyata dan boleh agih bagi pembayaran dividen kepada ahli,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Beliau berkata, pengurusan pencairan aset KWSP adalah berdasarkan SAA untuk mengurangkan impak kemudahan pengeluaran ke atas portfolionya.

Dengan aset bernilai lebih RM1 trilion, katanya, KWSP sentiasa memastikan ia mempunyai dana mencukupi untuk menampung kos pengeluaran dan perbelanjaan.

Beliau menjawab pertanyaan Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang meminta menteri itu menyenaraikan secara khusus aset pelaburan di dalam dan di luar negara yang dicairkan bagi menampung kemudahan pengeluaran tersebut.

Pada 14 Mac, Tengku Zafrul berkata, KWSP perlu mencairkan lebih banyak aset luar negaranya sambil menghentikan pelaburan domestik untuk menampung kos kemudahan pengeluaran lain.

Dua hari kemudian, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Putrajaya membenarkan satu lagi pengeluaran khas KWSP sehingga RM10,000.

Bayaran untuk kemudahan itu dibuat mulai 20 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.