Kes buli MRSM Muar: Kertas siasatan sudah sampai di Bukit Aman, kata polis

Kes buli MRSM Muar: Kertas siasatan sudah sampai di Bukit Aman, kata polis

Ketua Polis Muar Zaharudin Rasip berkata, pihaknya masih menunggu arahan Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

Lima pelajar Tingkatan Empat MRSM Muar direman pada 16 hingga 18 Dis lepas kerana disyaki terlibat dalam kes buli seorang pelajar lain sehingga menyebabkan mangsa mengalami bengkak pada rusuk kiri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kertas siasatan berhubung kejadian buli membabitkan lima pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar baru-baru ini sudah lengkap dan disampaikan ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman.

Ketua Polis Muar Zaharudin Rasip berkata, setakat ini masih tiada sebarang tindakan tuduhan dikenakan terhadap lima pelajar Tingkatan Empat itu selepas tamat tempoh reman.

Pihaknya masih menunggu arahan Bukit Aman untuk tindakan lanjut, tambahnya.

“Siasatan sudah lengkap dan kita telah rujuk kertas siasatan itu kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan IPK telah rujuk kepada Bukit Aman. Kini masih menunggu keputusan daripada Bukit Aman.

“Kes ini dirujuk ke Bukit Aman kerana ia adalah kes berkepentingan awam (public interest),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di IPK Johor, lapor Bernama.

Setakat ini katanya, siasatan dijalankan hanya melibatkan lima pelajar berkenaan yang merupakan wakil pelajar yang dilantik pihak sekolah.

Kelima-lima pelajar lelaki berusia 16 tahun itu direman tiga hari bermula 16 hingga 18 Dis lepas oleh Mahkamah Majistret Muar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Pada 15 Dis, kesemua mereka dilaporkan ditahan di sekitar Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru selepas disyaki terlibat dalam kes buli seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami bengkak pada rusuk kiri.

Zaharudin berkata, siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca ketidakpuasan hati kelima-lima pelajar itu terhadap mangsa.

“Ketika ini saya tidak dapat mengesahkan tindakan yang diambil pihak sekolah terhadap mereka kerana sekolah sedang bercuti. Untuk tahu perkembangan sama ada tindakan disiplin dan sebagainya dikenakan, kita lihat apabila sekolah dibuka semula nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.