Fokus pada pekerjaan lebih baik, pemulihan ekonomi 2022, kata ahli ekonomi

Fokus pada pekerjaan lebih baik, pemulihan ekonomi 2022, kata ahli ekonomi

Ahli ekonomi menyentuh isu keperluan untuk membenarkan ekonomi pulih daripada kerosakan yang disebabkan oleh dasar kerajaan sejak 20 bulan lepas.

Antara harapan utama bagi 2022 ialah rakyat boleh mencari peluang bermakna untuk pekerjaan bergaji tinggi, kata pakar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pakar ekonomi menggesa penggubal dasar supaya menumpukan tenaga mereka pada 2022 untuk mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi dan menggalakkan pemulihan perniagaan.

“Menjelang 2022, harapan utama dari perspektif ekonomi adalah ia boleh mulai pulih, rakyat boleh mencari peluang yang bermakna untuk pekerjaan bergaji tinggi dan perniagaan boleh dibuka dan dibina semula,” kata Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia.

Beliau turut menyeru agar prasarana perlindungan sosial negara dibina semula dan langkah diambil untuk meningkatkan simpanan pencen.

“Saya ingin lihat jurang yang terlihat semasa wabak Covid-19 diakui, terutamanya ketiadaan sistem perlindungan sosial,” katanya kepada FMT.

Geoffrey Williams.

“Kita perlu beri tumpuan kepada dasar sosial holistik yang meliputi semua bidang sokongan sosial, serta kesihatan dan pendidikan.”

Beliau bercakap mengenai keperluan untuk membenarkan ekonomi pulih daripada kerosakan yang disebabkan oleh dasar kerajaan yang “sesat” dan “tidak disasarkan” sejak 20 bulan lepas.

Katanya, bantuan tambahan daripada kerajaan mestilah melalui pemberian tunai secara langsung kepada isi rumah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kerajaan harus berundur serta sedar ia tidak membantu dan membenarkan rakyat dan mekanisme pasaran membetulkan sendiri keadaan,” katanya.

Beliau menyeru agar perhatian khusus diberikan kepada penambaikan hak pekerja dan alam sekitar, serta amalan sosial dan tadbir urus.

Jika gagal katanya, reputasi negara akan lebih terjejas dan akan memudaratkan pelaburan dan pemulihan ekonomi.

Beliau berkata, satu lagi cabaran besar pada 2022 adalah “kekecohan mengenai pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selanjutnya” yang tidak sepatutnya dibenarkan “dalam apa jua keadaan”.

Awal minggu ini KWSP berkata, tiga skim pengeluaran bertujuan membantu pencarumnya mengharungi sekatan dan kelembapan ekonomi menyebabkan 6.1 juta orang kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.

Daripada jumlah itu, 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000.

Sebanyak 78% pemohon pengeluaran adalah pencarum Bumiputera. Akibatnya, 4.4 juta – atau 54% pencarum Bumiputera – kini mempunyai kurang daripada RM10,000. Dua juta daripada mereka mempunyai kurang RM1,000.

Williams memberi amaran bahawa pengeluaran KWSP selanjutnya akan menghabiskan sebarang baki simpanan bagi jutaan orang dan memburukkan masalah struktur jangka panjang pencen.

Katanya, ini juga akan merosakkan sentimen pelabur kerana ia akan mengesahkan tanggapan bahawa KWSP boleh “diceroboh untuk menangani kegagalan dasar”.

Merujuk kepada kebimbangan Kementerian Kesihatan (KKM) tentang varian Omicron, Williams berkata, sekatan lanjut dalam sistem pengawasan atau penalti akan lebih merosakkan prospek pemulihan serta keyakinan pengguna dan pelabur.

Ketua ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Afzanizam Abdul Rashid berkata, wabak Covid-19 akan terus menjadi cabaran utama ekonomi tahun depan dengan mengambil kira ancaman varian baharu dari segi kebolehtularan dan keterukannya.

Afzanizam Abdul Rashid.

“Persoalan ini akan menentukan sejauh mana pembukaan semula ekonomi dan kadar pemulihan,” katanya.

Merujuk kepada pelbagai sekatan yang dihadapi negara beliau berkata: “Jelas sekali, persekitaran operasi tidak bagus untuk perniagaan dan yang lain.”

Katanya, keadaan pekerjaan perlu berubah tatkala ekonomi meneruskan perjalanannya menuju pemulihan pada 2022.

Kemunculan virus mendorong perniagaan fokus kepada daya pengeluaran yang katanya, merupakan perkara “yang benar-benar penting”.

Beliau meramalkan kerja jarak jauh semakin menjadi norma dan berkata, majikan perlu memformalkan aturan baginya agar dapat mendapatkan manfaat sepenuhnya.

Beliau menyeru agar perniagaan mengambil lebih banyak langkah untuk mendigitalkan operasi mereka.

Jika tidak katanya, ini boleh menyukarkan libat urus secara berkesan dengan bakal pelanggan dan yang sedia ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.