Banjir: Bantuan guaman kepada orang awam kurang dapat sambutan

Banjir: Bantuan guaman kepada orang awam kurang dapat sambutan

Orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat guaman percuma berkaitan isu perundangan seperti insurans harta, kes kematian atau kecederaan akibat bencana.

Keadaan kaunter bantuan guaman bencana kepada orang awam di Kompleks Mahkamah Shah Alam.
PETALING JAYA:
Bantuan guaman bencana kepada orang awam yang ditawarkan oleh Majlis Peguam Malaysia melalui Jawatankuasa Bantuan Guaman Kebangsaan mendapat maklum balas yang kurang memberangsangkan.

Pengerusi Pusat Bantuan Guaman dan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Selangor, Fahmi Abd Moin berkata, hanya beberapa orang hadir ke beberapa kaunter di sekitar Selangor dan isu yang dibawa kebanyakkannya berkenaan tuntutan insurans.

“Pihak pusat bantuan guaman juga ada menerima panggilan telefon bertanyakan tentang isu sama,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya akan melihat sejauh mana keberkesanan program yang dijadualkan selama dua minggu itu, selain mengambil maklum kekangan dihadapi mangsa banjir untuk hadir ke kaunter yang disediakan.

Sehubungan itu Fahmi berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan kaunter di lokasi-lokasi terkesan banjir seperti di pusat pemindahan sementara (PPS) atau balai raya berdekatan bagi memudahkan orang ramai.

Difahamkan juga kaunter bantuan guaman bencana kepada orang awam boleh dihubungi menerusi panggilan telefon dan secara dalam talian.

Berkenaan khidmat yang ditawarkan Fahmi berkata, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat guaman percuma terutama berkaitan isu perundangan seperti insurans harta, kes kematian atau kecederaan akibat bencana.

Turut disediakan, khidmat nasihat bagi mendapatkan dokumen penting yang musnah akibat banjir, tindakan yang perlu diambil jika rumah atau premis dipecah masuk, malah isu saman sivil terhadap kecuaian mana-mana pihak akibat banjir.

Ditanya mengenai gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib, supaya mangsa banjir mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri, Fahmi berkata, untuk membuat tuntutan tersebut, mereka harus mempunyai bukti yang kukuh.

“Pihak yang mempunyai bukti kukuh (bukti dokumen, bukti terus atau pandangan pakar) berhubung kesilapan/kecuaian/kegagalan pihak pemaju/pihak berkuasa tempatan/kerajaan negeri/persekutuan, boleh memfailkan kes saman atau tuntutan sivil di mahkamah,” katanya.

Hasil tinjauan FMT semalam di salah satu kaunter bantuan guaman bencana kepada orang awam di Kompleks Mahkamah Shah Alam mendapati tiada mangsa yang hadir membuat tuntutan.

Terdahulu, media melaporkan Majlis Peguam Malaysia melalui Jawatankuasa Bantuan Guaman Kebangsaan dengan bantuan mahkamah akan memberikan bantuan guaman bencana kepada orang awam di Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor.

Program ini bermula 27 Dis 2021 hingga 10 Jan 2022 pada setiap Isnin hingga khamis dari 2 hingga 4.30 petang.

Mangsa banjir yang memerlukan khidmat nasihat dan bantuan guaman boleh datang ke pusat bantuan di Kuala Lumpur; Shah Alam, Kuala Selangor, Kajang dan Klang di Selangor; serta Kuantan dan Temerloh di Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.