3 lelaki diberkas berkait kes bunuh di Jalan Ampang

3 lelaki diberkas berkait kes bunuh di Jalan Ampang

Suspek berusia 28 hingga 33 tahun disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan boleh dihukum mati, kata polis.

Menurut polis, dua lelaki yang ditahan lebih awal telah direman selama tujuh hari mulai semalam manakala reman bagi suspek utama akan dimohon hari ini.
PETALING JAYA:
Polis menahan tiga lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki di Jalan Ampang, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Saiful Annuar Yusoff berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi berjaya menangkap dua lelaki berusia antara 28 hingga 32 tahun pada keesokannya kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh itu.

Sementara itu katanya, seorang lagi suspek berusia 33 tahun yang juga dalang utama kes terbabit ditahan semalam.

“Pada 29 Dis jam lebih kurang 1.03 pagi, anggota bertugas di Bilik Kawalan Daerah Dang Wangi menerima maklumat berkenaan seorang lelaki warganegara dijumpai terbaring dan tidak sedarkan diri dalam keadaan kepala berdarah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki tersebut telah meninggal dunia. Siasatan awal yang dijalankan di tempat kejadian, terdapat saksi melihat si mati dipukul oleh tiga lelaki warganegara pada 28 Dis jam lebih kurang 6.00 petang,” katanya dalam kenyataan.

Saiful berkata, dua lelaki yang ditahan lebih awal telah direman selama tujuh hari mulai semalam manakala reman bagi suspek utama akan dimohon hari ini.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.