Singkir kapitalisme, beri peluang kepada demokrasi sosial, kata ahli akademik

Singkir kapitalisme, beri peluang kepada demokrasi sosial, kata ahli akademik

Demokrasi sosial menambah baik sistem kapitalis semasa kerana ia akan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial dan menjamin kesejahteraan awam.

Mengikut sistem demokrasi sosial, pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan akan menjadi tanggungjawab kerajaan, menurut Azmil Tayeb daripada USM.
PETALING JAYA:
Seorang ahli sains politik mencadangkan perubahan dalam sistem tadbir urus negara supaya kepentingan awam menjadi pertimbangan utama dalam penggubalan dasar.

Azmil Tayeb daripada Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan sistem demokrasi sosial seperti yang diamalkan di Jerman dan negara-negara Scandinavia.

Jerman dan negara-negara Scandinavia secara konsisten dinilai tinggi dalam indeks kualiti hidup dan mereka berjaya mengemudi keluar daripada krisis ekonomi tanpa banyak kesan negatif terhadap populasinya.

Azmil berkata, demokrasi sosial menambah baik sistem kapitalis semasa kerana ia akan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial, menjamin kesejahteraan awam dan melindungi hak pekerja.

Azmil Tayeb.

“Ini bermaksud, perkara-perkara tertentu seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan dan lain-lain akan menjadi tanggungjawab kerajaan dan tidak boleh diswastakan sepenuhnya untuk keuntungan,” katanya kepada FMT.

Azmil menjawab komen bekas penyelidik Universiti Malaya Shaharuddin Maaruf pada satu forum baru-baru ini.

Menurut Shaharuddin, banyak isu di Malaysia seperti kenaikan harga makanan dan jurang pendapatan yang semakin meluas boleh diselesaikan melalui penerapan sosialisme.

Azmil berkata, Malaysia sudah matang untuk menerima idea-idea sosialis kerana wabak Covid-19 memburukkan keadaan bagi golongan miskin sedangkan golongan kaya hampir tidak terjejas, malah makin makmur.

“Dasar neoliberal yang dilaksanakan di Malaysia terbukti tidak berguna dalam menangani kemelesetan ekonomi akibat wabak,” katanya.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Malaysia boleh cuba bereksperimen dengan sistem seperti di negara-negara Scandinavia dan bahagian lain di utara Eropah, tetapi perlu mempunyai kerajaan yang bersih terlebih dahulu.

Oh Ei Sun.

“Jika tidak, cukai yang dikutip untuk digunakan dalam menyediakan perkhidmatan sosial lebih baik akan berakhir dalam poket pihak yang korup,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu berwaspada jika mahu bereksperimen dengan sistem politik dan ekonomi sosialis.

Percubaan sedemikian boleh gagal teruk jika tidak dilaksanakan dengan betul.

“Setakat ini, kapitalisme menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara membangun yang lebih berjaya,” katanya.

Beliau memetik Kesatuan Soviet sebagai contoh negara sosialis yang menderita akibat harga makanan yang tinggi, kekurangan makanan dan jurang pendapatan yang besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.