Sambutan Tahun Baharu batal, solat hajat jadi pengganti

Sambutan Tahun Baharu batal, solat hajat jadi pengganti

Perdana Menteri berkata, solat Hajat dan doa selamat akan menggantikan sambutan berkenaan sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir.

Sambutan Tahun Baharu malam esok dibatalkan sebaliknya digantikan dengan solat hajat dan doa selamat, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
PETALING JAYA:
Sambutan Tahun Baharu malam esok dibatalkan sebaliknya digantikan dengan solat hajat dan doa selamat sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir yang melanda beberapa negeri.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk menganjurkan Solat Hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022, di Masjid Putra, Putrajaya.

Pada masa sama, Ismail turut mengajak Keluarga Malaysia solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan doa selamat di masjid tersebut malam esok.

“Bagi mereka yang tidak berpeluang hadir, boleh mengikuti siaran secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al-Hijrah.

“Saya juga menyarankan agar masjid di seluruh negara, terutamanya masjid negeri, menganjurkan majlis yang sama. Bagi Keluarga Malaysia yang bukan beragama Islam boleh melakukan sembahyang mengikut kepercayaan dan agama masing-masing,” katanya menerusi Twitternya.

Ismail juga berharap usaha dilakukan ini mendapat keberkatan dan Malaysia akan menjadi lebih baik daripada tahun sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.