Sambung atau tangguh VTL udara diketahui 48 jam sebelum 21 Jan, kata Wee

Sambung atau tangguh VTL udara diketahui 48 jam sebelum 21 Jan, kata Wee

Ia tertakluk kepada kerajaan Singapura yang akan menilai situasi semasa berikutan terdapat varian Omicron dikesan di negara itu.

Keputusan sama ada inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin udara dengan Singapura disambung atau tidak akan ketahui dalam tempoh 48 jam sebelum dijadualkan bersambung semula pada 21 Jan, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.
PETALING JAYA:
Keputusan sama ada inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara antara Malaysia dan Singapura disambung atau tidak akan ketahui dalam tempoh 48 jam sebelum dijadualkan bersambung semula pada 21 Jan, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Wee berkata, jika disambung semula mulai tarikh itu, jumlah jualan tiket berkemungkinan dikurangkan sehingga 50% daripada jumlah sedia ada.

Katanya, keputusan itu bagaimanapun tertakluk kepada kerajaan Singapura yang akan menilai situasi semasa Covid-19 berikutan varian Omicron dikesan di republik berkenaan.

“Saya berbincang dengan Menteri Pengangkutan Singapura pada 21 Dis lalu yang beliau memaklumkan mengapa pihaknya mengambil keputusan menangguhkan inisiatif berkenaan, bukan ditamatkan.

“Mereka akan membuat penilaian sama ada ia akan disambung semula sepertimana dijadualkan pada 21 Jan atau ditangguh lagi dan keputusan itu hanya akan dimuktamadkan dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berkenaan,” katanya menurut laporan Utusan Online.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor yang diadakan secara hibrid di Ibu Pejabat MCA Johor hari ini.

Pada 22 Dis lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, kerajaan memutuskan untuk menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi VTL Malaysia dan Singapura bermula esok hingga 20 Januari 2022.

Sementara itu, Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam memberitahu inisiatif VTL darat pula tertakluk kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana di luar bidang kuasanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.