Peter tak layan jemputan sertai STAR?

Peter tak layan jemputan sertai STAR?

ADUN Melalap itu dikatakan kekal dengan pendirian untuk menubuhkan parti baharu, walaupun beliau dan ADUN Limbahau, Juil Nuatim cuba 'dipancing' STAR.

Bekas Naib Presiden Warisan, Peter Anthony dikatakan mula bergerak dan bersedia untuk berjuang dengan parti baharunya yang akan dilancarkan bulan depan. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Bekas Naib Presiden Warisan, Peter Anthony dikatakan kekal dengan pendirian untuk menubuhkan parti baharu, walaupun beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Juil Nuatim cuba “dipancing” STAR.

Sumber yang rapat dengan Peter berkata, jemputan Presiden STAR, Jeffrey Kitingan agar Peter dan Juil menyertai parti diterajuinya juga tidak dilayan.

“Tiadalah (Peter dan Juil ingin sertai STAR). Beliau (Peter) sudah mula bergerak dan bersedia untuk berjuang dengan parti baharu,” katanya kepada FMT.

Sumber itu berkata, kenyataan Jeffrey mengenai kemungkinan menemui Peter dan Juil petang tadi tidak berlaku.

Katanya, perjumpaan itu sebenarnya dirancang tanpa pengetahuan Peter dan Juil, oleh itu dua wakil rakyat terbabit tidak ke tempat yang dikatakan sepatutnya diadakan pertemuan itu.

Terdahulu, Jeffrey mempelawa Peter dan Juil berjuang bersamanya di bawah “panji” STAR, susulan pengumuman mereka meninggalkan Warisan kelmarin.

Beliau juga berharap Peter membatalkan hasratnya menubuhkan parti baharu kerana beranggapan ada terlalu banyak parti tempatan di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri itu dilaporkan berkata, beliau mungkin menemui Peter dan Juil bagi membincangkan pelawaannya.

Kelmarin, Peter dilaporkan berkata, beliau akan menubuhkan parti baharu berasaskan masyarakat Kadazan Dusun Murut yang mesra kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah pada bulan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.