
Mendiang meninggal dunia pada usia 84 tahun selepas mengalami pelbagai komplikasi selain tidak mampu berjalan.
Menurut adik bongsunya Kihsaven, 66, abangnya tidak berapa sihat sejak kebelakangan ini.
Katanya, baru-baru ini, mendiang dimasukkan ke Hospital Selayang selama lima hari selepas keadaan sangat lemah.
“Abang mengalami strok ringan beberapa hari lalu dan tidak boleh bangun. Sepanjang hayatnya, saya mengikutinya dalam semua perlawanan dengan menaiki motosikal Honda Cub.
“Sewaktu bersama abang, saya bertemu Mokhtar Dahari dan pemain bola sepak Malaysia yang lain. Saya sangat menyayanginya dan akan merinduinya,” katanya kepada FMT.
Kuppan pernah menjadi kapten pasukan Pulau Pinang pada 1960 dan kemudiannya menjadi penyerang skuad kebangsaan.
Pada tahun 1973, mendiang bersama Abdul Ghani Minhat menjadi orang yang bertanggungjawab membentuk gandingan mantap Chin Aun-Santokh sehingga mendatangkan gerun kepada pasukan lain.
Mendiang meninggalkan isteri, G Amirthemani Pillai, 84, serta tiga anak dan empat cucu.
Anak sulung daripada lapan beradik itu dilahirkan di Butterworth, menjadi kerani di Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang pada 1958 sebelum memasuki pasukan Pulau Pinang pada tahun sama. Beliau bekerja dengan suruhanjaya pelabuhan selama 31 tahun.
Ketika itu, skuad Pulau Pinang memenangi Piala HMS Malaya pada 1958 dan pada masa sama, mendiang juga memenangi Kejohanan Pesta Bola Merdeka ketika menyarung jersi skuad kebangsaan.
Beliau mewakili negara selama lapan tahun sehingga 1965 dan bermain 10 musim untuk Pulau Pinang sebelum bersara pada 1967 akibat kecederaan.
Kuppan kemudian melatih pasukan kebangsaan dari 1972 hingga 1978, di mana pasukan negara ketika itu merangkul gelaran Pesta Bola Merdeka dan dua kali menjuarai Piala Raja Thai.
Selama dua tahun mendiang melatih Pulau Pinang bermula dari 1972 hingga 1974, beliau membawa skuad itu muncul juara Piala Malaysia buat kali keempat selepas menundukkan Perak, 2-1 pada aksi final.
Dalam pada itu, bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Gary Nair memberitahu, mendiang ketika itu sebagai jurulatih di Northern Telecom (NT), yang bertanggungjawab melatih 3,000 pekerja kilang dalam semua jenis sukan.
“Saya mengenalinya ketika zaman NT dan mendiang adalah orang terbaik yang pernah ditemui. Dia gemar menulis nota ‘terima kasih’ dan memasukkan dalam sampul surat lalu meletakkan atas meja anda.
“Dia akan melakukan perkara itu jika seseorang itu selesai menjalankan latihan. Bagaimana anda boleh menemui orang seperti itu hari ini? Dia seorang pemain, jurulatih dan kawan. Kami kehilangan satu permata.” katanya.