
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berumur 28 tahun itu yang bekerja di sebuah premis perniagaan ditahan di Ayer Tawar di sini dalam Operasi Bersepadu Khas Bitcoin dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan bermula 9 pagi hingga 10 malam.
“Polis melakukan pemeriksaan terhadap 75 premis di sekitar daerah ini dan 30 premis didapati menjalankan aktiviti melombong bitcoin secara tidak sah serta melakukan perbuatan mencuri elektrik, manakala 45 lagi premis didapati tidak berpenghuni dan tiada sebarang kegiatan menyalahi undang-undang.
“Polis merampas 1,720 mesin bitcoin, 15 unit monitor, 22 unit pemprosesan pusat (CPU), 16 papan kekunci, tujuh tetikus, 56 modem, sebuah Toyota Hilux, 44 kipas, lima alat penggera, tujuh kamera litar tertutup (CCTV) serta sebuah komputer riba,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung.
Mior Faridalathrash berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan secara terperinci mengenai dalang di sebalik kegiatan itu serta tempoh aktiviti tersebut dijalankan.
Menurutnya, TNB juga menganggarkan kecurian elektrik bernilai kira-kira RM2 juta.
Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.