
Menurutnya, kakitangan terbabit yang akan ditawarkan bekerja secara sementara dalam tempoh setahun bermula 1 Januari, tidak akan diberi tugas yang memerlukan tandatangan pada dokumen rasmi atau keputusan yang mungkin menjadi liabiliti kepada kerajaan.
Dalam garis panduan terbaharu dikeluarkan JPA yang dilihat FMT ia berkata, kakitangan itu juga tidak akan menerima faedah sama seperti penjawat awam walaupun bekerja dengan kerajaan.
“Mengenai struktur gaji, ia adalah berdasarkan kelayakan mereka, iaitu RM2,000 untuk pemegang ijazah sarjana muda, RM1,800 (diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ), RM1,600 (Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ) dan RM1,400 untuk lain-lain.
“Jumlah ini termasuk bahagian caruman kerajaan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bayaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” kata jabatan itu.
Katanya, kakitangan di bawah MySTEP tidak layak dibayar elaun lebih masa.
Bagaimanapun, mereka layak untuk menerima faedah lain seperti cuti tahunan 12 hari, cuti sakit 14 hari dan faedah di bawah KWSP dan PERKESO.
Selain itu JPA berkata, tempoh berkhidmat mesti di antara satu hingga 12 bulan dan program akan berakhir pada 30 Jun 2023.
Ketika mengumumkan lanjutan program itu pada pembentangan Bajet 2022, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, ia adalah langkah sementara untuk membantu penganggur ketika mereka mencari pekerjaan tetap.
Program itu menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak termasuk 50,000 dalam sektor awam dan selebihnya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).