
Air mula surut kira-kira seminggu lepas dan seluruh kawasan kejiranan itu kering menjelang Jumaat. Namun, nampaknya masih belum ada usaha pihak berkuasa untuk membersihkannya.
Tanah dilitupi kelodak dan kotoran di pelbagai tempat, manakala kenderaan yang rosak akibat ditenggelami air terkandas.
Bagaimanapun, paling ketara adalah timbunan tinggi sampah yang masih belum dibuang dan menyesakkan mata dan hidung.

“Semua sampah ini yang dibiarkan di tempat terbuka selama beberapa hari boleh membahayakan kesihatan,” kata Andrew De Silva, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sri Muda.
“Setakat ini, tiada siapa daripada MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) datang untuk membersihkan, dan kami menghubungi mereka setiap hari.
“Kami diberitahu bahawa pembersihan dijalankan oleh Pengurusan Sisa KDEB, tetapi setiap kali kami bercakap dengan mereka, mereka kata mereka masih buat kerja di kawasan lain dahulu, walaupun Sri Muda adalah seperti ‘ground zero’.”
Syarikat itu adalah anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan bertanggungjawab mengutip dan membersihkan sisa domestik di negeri itu.

“Satu-satunya pihak yang datang membantu adalah NGO,” kata Rajvinder Singh, ahli jawatankuasa persatuan penduduk.
“Mereka membuang seberapa banyak sampah yang boleh dan membantu membersihkan rumah secara percuma.”
Wartawan FMT melihat beberapa kenderaan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berada di kawasan itu, walaupun Taman Sri Muda terletak kira-kira 20km dari sempadan Wilayah Persekutuan.
“Jika DBKL boleh datang sejauh ini untuk buat kerja pembersihan, mengapa MBSA atau KDEB tidak boleh buat perkara sama?” soal Ravinder.
Sebarang pembersihan mungkin mengambil masa berminggu-minggu. Kelihatan ramai penduduk sedang membersihkan jalan masuk ke rumah mereka dan menyembur dengan air kenderaan yang terselamat daripada banjir.